Pemerkasaan Mahkamah Syariah: ‘Walk the talk’

nasrudin3

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mengalu-alukan apa sahaja usaha substantif daripada pihak Kerajaan Persekutuan untuk memperkasakan institusi Mahkamah Syariah ke arah lebih mantap sama ada daripada aspek pentadbiran, sistem dan jurisdiksi perundangan.

Advertisement

Walau bagaimanapun, kuasa perundangan dan pentadbirannya terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri melainkan bagi Wilayah Persekutuan. Hal ini termasuk undang-undang mengenai ‘precept of Islam’ yang juga diberi kepada pihak negeri.

Susulan itu, PAS mencadangkan agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), YB Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa segera membentangkan usul untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Cadangan ini bukan isu politik bahkan ahli-ahli Parlimen PAS akan memberikan sokongan dan turut serta dalam perbahasan nanti.

Anggaplah ia sebagai satu usaha bersama untuk membolehkan Dewan Undangan Negeri (Dun) membuat undang-undang dan menambah bidang kuasa Mahkamah Syariah mengenai hukuman bagi kesalahan-kesalahan jenayah yang terletak dalam bidang kuasa negeri sepertimana yang termaktub dalam Senarai II, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

PAS yakin beliau tidak menolak keperluan dan maqasid akta ini sepertimana artikel yang pernah ditulis oleh beliau pada 8 September 2016 yang lalu di bawah tajuk ‘Cadangan Pindaan Akta 355 Daripada Perspektif Ahli Legislatif: Satu Pendapat’. Bahkan, akta tersebut tidak boleh dipinggirkan dengan akta atau enakmen atau ordinan Mahkamah Syariah yang lain.

Ini adalah masa yang sangat sesuai (walk the talk) ke arah usaha untuk memperkasakan institusi, sistem dan skop perundangan serta kehakiman Syariah secara menyeluruh di Malaysia.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
25 Syawal 1439 | 9 Julai 2018 – HARAKAHDAILY 9/7/2018