PRK Sungai Kandis: Satu lawan satu

PILIHAN raya Umum lebih dua bulan telah berlalu. Calon-calon yang memenangi kerusi-kerusi negeri mewakili parti masing-masing (termasuklah yang menang dan khianat serta lompat parti kemudiannya) telah pun mengangkat sumpah sebagi Ahli Dewan Negeri di negeri masing-masing, manakala yang memenangi kerusi Dewan Rakyat dijangka mengangkat sumpah mereka bulan Julai ini.

Advertisement

Barisan kepimpinan negeri-negeri telah pun dibentuk demikian juga di peringkat Persekutuan.

Walaupun tempoh mereka masih di peringkat terlalu awal, ditakdirkan Allah swt berlaku kekosongan di Dun Sungai Kandis, Parlimen Kota Raja, Selangor apabila Adun kawasan yang mewakili PH-PKR meninggal dunia.

Dengan kekosongan ini bermakna akan berlaku pilihan raya kecil iaitu yang pertama selepas PRU ke-14 dalam waktu yang terdekat.

Dengan perubahan besar pasca PRU ke-14 lalu sudah pasti “padang permainan” PRK ini berbeza sama-sekali dengan senario di waktu sebelum dan semasa menghadapi PRU ke-14. Umum mengetahui “upset” terbesar PRU ke-14 adalah kalah dan tersungkurnya BN di peringkat Persekutuan dan sebahagian besar negeri-negeri kecuali Perlis dan Pahang sahaja.

PAS walaupun tidak lagi sebahagian kerajaan di negeri Selangor, namun PRU ke-14 membuktikan PAS masih relevan dan terus diterima rakyat khasnya di utara Semenanjung dan di Pahang serta Pantai Timur Semenanjung. Walaupun PH cemerlang di Pantai Barat dan Johor namun di Kelantan dan Terengganu PH gagal memenangi walau satu kerusi Dun mahupun Parlimen dan PAS berjaya mempertahankan Kelantan serta menawan kembali Terengganu.

Ternyata politik Malaysia terbelah pada 3 penjuru sokongan iaitu PH, BN dan PAS yang menganggotai Gagasan Sejahtera, namun pasca PRU 14 baru-baru ini, BN khasnya Umno teruk “tercedera” dengan parti-parti komponannya berderu-deru berpaling tadah menjauhi gabungan tersebut yang kini hanya dianggotai Umno, MCA dan MIC, itupun entah berapa lama boleh bertahan.

Umno sendiri terus goncang apabila berlaku pengkhianatan dalam parti, dan pertandingan peringkat kepimpinan baru-baru ini melihatkan parti Melayu tertua dalam negara ini terus berhadapan dengan pelbagai masalah dan dilema.

Dan kini bakal berlaku pula PRK di Dun Sungai Kandis.

Sungai Kandis mempunyai 50,800 pengundi berdaftar dengan pengundi Melayu merupakan pengundi terbesarnya iaitu 73.11% diikuti India 14.7% dan Cina 12.8%. PRU ke 14 lalu meyaksikan berlaku pertandingan 4 penjuru di Dun ini iaitu antara calon PAS, PH-PKR, BN-Umno, PAS dan PRM. Calon PH Allahyarham Mat Shuhaimi Shafie menang dengan majoriti 12,480 undi.

Ternyata sebagaimana di kerusi-kerusi Dun yang lain yang majoriti pengundi Melayu di Selangor, pertandingan 3 penjuru atau lebih antara calon-calon PH, BN dan PAS telah menyaksikan sokongan pengundi Melayu itu berpecah tiga.

Kerana itu bagi menghadapi PRK Sungai Kandis kali ini PAS melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pusatnya telah memutuskan hanya akan meletakkan calon kiranya berlaku pertandingan satu lawan satu iaitu antara calon PH dan PAS. Sikap ini penting kerana jika berulang pertandingan tiga atau lebih penjuru maka besar kemungkinan keputusan PRU14 akan berulang kembali dan PH akan menang mudah.

Umno walaupun memperolehi 11,518 undi di Sungai Kandis pada PRU14 lalu, iaitu kedua terbesar, namun ia hari ini berbeza dari Umno sebelum PRU14. Umno hari ini berhadapan dengan pelbagai masalah dan krisis, mereka ditolak rakyat pada PRU lalu dan bekas Presidennya pasca PRU ini telah diseret ke mahkamah dan akan menghadapi pelbagai pertuduhan bersabit skandal 1MDB yang banyak menconteng arang ke wajah Umno.

Akaun Umno di peringkat pusat dan beberapa negeri termasuk Selangor pun telah dibeku pihak berkuasa yang sudah pasti melumpuhkan operasi Umno.

Lantaran itu, PRK Sungai Kandis sepatutnya bukanlah masa sesuai buat Umno sertai. Dan tepatlah keputusan PAS Pusat bahawa sewajarnya PASlah diberi laluan untuk menghadapi PH dalam PRK ini memandangkan PAS kekal relevan dan punya rekod yang baik serta masih boleh diterima rakyat, tidak seperti Umno di waktu ini.

Hari ini setelah 2 bulan berkuasa, beberapa dasar dan program serta tindakan yang diambil kerajaan PH sama ada di peringkat Persekutuan mahupun Negeri Selangor mula digusari rakyat dan mula dipertikaikan.

PH menang Dewan Negeri Selangor pada PRU14 lalu dengan begitu selesa iaitu menguasai 51 daripada 56 kerusi Dun.BN-Umno menang 3 kerusi dan PAS cuma 1. Oleh itu PRK Sungai Kandis ini adalah peluang buat rakyat untuk melontarkan wakil yang dapat bersuara mempertahan dan memperjuangkan hak dan kepentingan mereka agar tidak dieksploitasi dan didominasi oleh PH yang punya penguasaan dua pertiga di Dewan Negeri.

PAS dengan rekodnya yang diketahui rakyat Selangor berupaya menjadi benteng suara rakyat khasnya dalam mempertahankan kepentingan Melayu Islam sebagaimana yang pernah ia lakukan sejak PRU 2008 semasa di dalam kerajaan.

Semoga pihak lain khasnya Umno berbesar hati memberi laluan kepada PAS dalam PRK ini agar PAS dapat menggembleng kekuatannya menghadapi calon PH-PKR. Namun jika opsyen ini tidak berhasil, maka sebagaimana ditegaskan PAS Pusat, ketika itu suatu keputusan drastik perlu diambil demi kelangsungan masa depan dan perjuangan PAS. – HARAKAHDAILY 11/7/2018