Usahawan perkenal Tahfiz Ekonomi

KUALA TERENGGANU: Pembinaan Tahfiz Ekonomi oleh NR (Nazmi Rohani) Cafè Heritage Sdn Bhd bertujuan melahirkan para huffaz profesional yang bakal memandu syarikat tersebut.

Advertisement

Pengerusinya, Nazmi Ghazali berkata, para huffaz tersebut akan menyempurnakan visi dan misi melahirkan pengurusan industri makanan dan minuman halal oleh syarikat itu.

Jelasnya, petugas-petugas berjiwa jihad ekonomi dalam industri halal itu juga sekali gus berperanan menyelamatkan ummah menerusi perkembangan sektor tersebut.

“Dari satu cawangan kami telah berkembang kepada dua cawangan lain di negeri Terengganu dan pada tahun 2012 tertubuhnya NR Seafood Village (SME) serta pada tahun 2018 tertubuhnya NR D’Nyatuh (SME).

“Kami telah beroperasi selama 12 tahun dengan berkonsepkan alam seni warisan serta mesra rimba,” katanya ketika pembukaan restoran baru NR Cafe D’Nyatuh, di sini kelmarin.

Menurutnya, kelainan Restoran Nr D’ Nyatuh ini dengan yang lain seperti di Tok Jembal dan Mengabang Telipot ialah masakan berasaskan menu DiRaja, masakan Cina, Thailand dan menu yang sihat berasakan minyak zaitun.

“Visi Nr Café ialah menjadi peneraju industri produk makanan halal berkualiti tinggi dan berpengaruh memenuhi arus keperluan global.

“Manakala misinya pula untuk membangunkan peluang dan menyuburkan budaya usahawan korporat di setiap ‘outlet’ yang diwujudkan.

“Dan mengangkat martabat rekaan klasik kontemperari serta juadah seni warisan Melayu di persada global,” ujarnya pengusaha itu. -HARAKAHDAILY 11/7/2018