Pilu tidak sekolah tahfiz semua anak

SubkyLatif

SAYA hanya sekolah-tahfizkan tiga daripada lima anak. Sedih yang sulung – perempuan – tidak dihantar ke situ, justeru kurang kesedaran dan hati tidak terbuka. Yang bongsu justeru tidak cukup ikhtiar bagi menampung keperluan kewangan.

Advertisement

Lalu kedua-duanya disekolahkan di sekolah menengah aliran Islam tetapi mengakhiri pengajian di universiti konvensional. Saya takut kedua-duanya mentakwil saya di akhirat tidak menghantar mereka ke maahad tahfiz. Moga-moga Allah Yang Pemurah mengampunkan kelemahan saya itu.

Jika kerajaan tidak haramkan sistem sekolah tahfiz itu, jika ditakdirkan saya dapat sepuluh anak lagi, nescaya dengan izin Allah akan dihantar mereka ke sekolah tahfiz. Jika diharamkan aliran itu, saya hendak mengajak mereka yang pro tahfiz meneroka hutan simpan yang jauh dari kediaman orang membuka sekolah tahfiz haram di sana.

Bagi tiga anak yang ke sekolah tahfiz dua pertiga khatam. Mereka tidak ada sijil persekolahan dan ijazah pengajian tinggi dalam negeri. Mereka mengikuti kuliah cara Imam Shafie dan Imam Ghazali mengaji dulu.

Keluarga terdekat saya keliru dan merasa saya gila menghantar anak berusia 11 dan 12 tahun mengaji beribu batu di luar negeri. Perdana Menteri Abdullah Badawi takjub mendapati kanak-kanak kecil berada di Afrika Selatan. Dia bertanya mereka, “Mengapa belajar di sini?”

Jawab mereka, “Apak mahu kami belajar agama.”

“Tak ada sekolah agamakah di Malaysia?”

Menghafaz Quran dalam negeri lambat habis. Ibu bapa selalu datang mengulang anak-anak dan pantang cuti keputeraan raja mereka bawa pulang anaknya. Empat lima tahun tak tamat lagi.

Bila mereka sekolah beribu batu, tiada diganggu ibu bapa, mereka tumpu mengaji. Bagi yang berbakat, tamat dalam masa dua tiga tahun.

Seorang hoja (guru) di Turki memberitahu saya, Imam Ghazali meninggalkan Parsi menuntut ilmu di Baghdad. Selama 17 tahun dia tidak pulang. Dia menerima banyak surat dari keluarganya. Dia tidak buka semua surat itu. Tidak mahu masa belajarnya terganggu. Sesudah jadi ulama terbilang baru dia buka semua surat. Antaranya memaklumkan bondanya meninggal.

Saya tinggalkan anak-anak kecil itu di tengah masyarakat Turki yang tidak tahu cakap Melayu dan Inggeris. Anak-anak sayapun tidak tahu cakap Turki dan Inggeris. Mereka berkomunikasi seperti itik dan ayam. Biar mereka mengalami hidup dan pengalaman Imam Ghazali dan Imam Shafie.

Tan Sri Megat Junid kata saya menganiaya anak. Saya kata, saya mahu anak tahu pahit maung hidup jauh dari ibu bapa macam Imam Ghazali. Mencari ilmu yang tidak ada dalam negeri. Jika boleh biar anak itu jadi ulama yang jadi pakar hal ehwal empayar Othmaniyah seperti Prof. Abdul Hamid Alga keturunan Inggeris.

Doktor sudah ramai, jurutera pun ramai. Pakar empar Othmaniah hanya seorang di dunia. Jika anak itu jadi jurutera, satu jawatan profesor kosong, berpuluh yang memohon. Kalau dia pakar empayar Ohmaniah semua universiti di Malaysia berebut untuk mengambilnya seorang.

Sampai begitu you berfikir, kata Megat Junid.

Anak saya tidak jadi macam Imam Ghazali dan tidak juga jadi macam Hamid Alga. Dia hanya mengajar di madarasah kecil di Sungai Buloh, tetapi menjadi panel syariah tanpa PhD sebuah bank, selalu memberi kuliah dalam bahasa Inggeris di Wisma Putra. Yang seorang lagi jadi imam besar sebuah universiti, menyusun khutbah Jumaat bagi ulama antarabangsa yang datang ke sini.

Siapa kata pelajar tahfiz tdak berguna dalam pembangunan negara? – HARAKAHDAILY 13/7/2018