UEC buka ruang pecah masyarakat majmuk

KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan Malaysia perlu serius menangani polemik pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang bertentangan dengan dasar pendidikan negara.

Advertisement

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, UEC yang digunapakai di sekolah aliran Cina dan sekolah swasta Cina diambil sepenuhnya dari China.

Katanya, Malaysia akan berhadapan dengan masalah besar seperti perpecahan dalam masyarakat majmuk jika sistem pendidikan negara dan dasar pembentukan negara tidak diikuti.

“Kita pernah berhadapan dengan krisis pendidikan dahulu apabila MCA mencadang untuk menubuh sebuah institusi pengajian tinggi, Universiti Merdeka yang ditentang pemuda Umno.

“Ia dibatalkan kerajaan, namun hari ini wujud puluhan universiti swasta yang ditubuhkan tidak mengikut silibus sistem pendidikan negara,” katanya pada pertemuan dengan guru Maahad Ar-Rahmah Kenali, Kubang Kerian semalam.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching yang mewakili DAP mahu isu pengiktirafan UEC selesai sebelum hujung tahun ini.

Manakala Melaka adalah negeri keempat mengiktiraf UEC selepas Sarawak, Selangor dan Pulau Pinang sebagai syarat perjawatan peringkat negeri. – HARAKAHDAILY 12/7/2018