Kemasik bakal destinasi pilihan hujung minggu

KEMAMAN: Adun Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili membayangkan kakitangan Petronas yang bekerja di Kertih atau Paka tidak perlu lagi ke bandar lain di luar Terengganu untuk bercuti pada hujung minggu.
 
Kerana menurutnya, Terengganu juga mempunyai pantai yang sangat cantik dan sesuai untuk mereka melaksanakan aktiviti hujung minggu dan berbelanja setelah pula menetap dan mencari rezeki di situ.
 
Beliau berimaginasi Kemaman dapat dibangunkan lebih baik selaras pendapatan dari hasil cukai oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang sewajarnya boleh setanding bandar minyak seperti Miri di Sarawak.
 
Idea tersebut dinyatakannya susulan dari pertemuan dan mendapat taklimat korporat dan operasi Petronas disampaikan Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Wan Mohd Hasnan Wan Abdullah, di sini 10 Julai lalu.
 
Terangnya, entiti tersebut juga bakal menjadi penyumbang tanggungjawab sosial dan kerjasama korporat melalui kerancakan aktiviti ekonomi di Kertih.
 
Petronas sendiri ujarnya sebagaiman taklimat itu menyatakan komitmen membantu anak tempatan menyediakan peluang pekerjaan di mana kini mempunyai sekitar 7,000 tenaga kerja dengan 95 peratus adalah rakyat Malaysia.
 
Daripada jumlah itu ujar Ir Saiful, beliau dimaklumkan 40 peratus adalah anak Terengganu sekali gus membuktikan syarikat nasional itu tidak pernah mengabaikan warga tempatan. -HARAKAHDAILY 13/7/2018
Advertisement