Dr Mujahid dan ‘Hifzu ad-Din’

MUKADDIMAH

Advertisement

Heboh di media sosial berkenaan ucapan YB Dr Mujahid Yusof, Menteri baru di Jabatan Perdana Menteri yang dipertanggungjawabkan menggalas amanah ‘menjaga agama’ di dalam Malaysia Baru.

Antaranya Dr Mujahid menyebut mengenai Maqasid asy-Syariah. Beliau bercakap mengenai 1 daripada 5 prinsip keutamaan dalam Ilmu Maqasid tersebut, iaitu ‘Hifzu ad-Din‘ bermaksud prinsip ‘menjaga agama’.

Beliau dengan penuh ‘confident’nya menghuraikan maksud prinsip ‘Hifzu ad-Din‘ itu sebagai menjaga ‘semua agama’. Bukan hanya agama Islam. Kerana, kata beliau, Islam adalah ‘Rahmatan Lil ‘Alamin’, iaitu sebagai rahmat kepada seluruh alam. Di sinilah, tempat kekecohan bermula.

Fahami dulu beberapa istilah 

●     Ilmu Maqasid asy-Syariah – Ia ialah suatu ilmu yang mengkaji mengenai rahsia-rahsia dan hikmah yang dikehendaki oleh Allah S.W.T di sebalik pelaksanaan segala suruhan dan mengelakkan segala larangan yang ditetapkan di dalam hukum syarak.

Ia adalah suatu cabang ilmu di dalam Ilmu Usul Fiqh. Ia dibincangkan oleh para ulamak yang begitu mendalam kefahaman mereka mengenai ilmu syarak sehingga mereka mampu melihat aspek ‘kebijaksanaan’ atau ‘wisdom’ di sebalik pensyariatan sesuatu hukum syarak. Bukan hanya sekadar menguasai perbahasan dalil-dalilnya sahaja.

Kajian Ilmu Maqasid ini telah berkembang luas mutakhir ini, sehingga ia hampir menjadi satu kategori ilmu yang khusus. Tidak lagi sebagai cabang kepada Ilmu Usul Fiqh. Namun Ilmu Maqasid hanya boleh difahami dengan baik, jika kita terlebih dahulu menguasai Ilmu Usul Fiqh.

●     Ad-Dhoruriyyat al-Khamsah – Iaitu 5 Prinsip Keutamaan Yang Paling Utama di sebalik setiap perintah melaksanakan Syariat. Iaitu menjaga agama, menjaga nyawa, menjaga keturunan, menjaga akal dan menjaga harta.

●     Hifzu ad-Din – Ia merujuk kepada prinsip pertama dan yang paling utama daripada ad-Dhoruriyyat al-Khamsah tadi, iaitulah prinsip menjaga agama.

●     Rahmatan Lil ‘Alamin – Petikan daripada Surah al-Anbiyaa’, ayat 107. Bermaksud:

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”

Adakah prinsip Hifzu ad-Din dalam Maqasid asy-Syariah bermaksud menjaga ‘semua agama’ atau khusus kepada ‘Agama Islam’ sahaja? 

Ilmu Maqasid asy-Syariah sendiri ialah ilmu yang mengkaji rahsia-rahsia dan hikmah-hikmah tersembunyi di sebalik pelaksanaan Syariat Islam.

Apabila kita melaksanakan Syariat Islam, kita akan dapati 5 faedah utama yang akan diperolehi oleh manusia. Iaitulah;

     Terpeliharannya agama Islam yang akan menyelamatkan manusia daripada terjerumus ke dalam kebinasaan azab api neraka di negeri Akhirat. Antaranya disyariatkan berdakwah, belajar agama, mendirikan sekolah-sekolah agama, mendirikan masjid, meninggikan Syiar Islam seperti azan, solat berjamaah, rombongan haji, berjihad dengan harta dan nyawa dan lain-lain bagi tujuan menjaga agama.

     Terpeliharanya nyawa manusia di dunia ini daripada sebarang pencerobohan membabi buta. Antaranya disyariatkan hukuman bagi jenayah membunuh atau mencederakan iaitulah hukuman Qisas dan Ta’zir bagi tujuan menjaga nyawa.

     Terpeliharanya keturunan manusia daripada bercampur-baur yang akan menyebabkan syak wasangka dan persengketaan yang tidak kunjung padam. Antaranya disyariatkan nikah kahwin dan diharamkan zina, bagi menjaga keturunan.

     Terpeliharanya akal daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan kemampuannya untuk berfikir dengan baik. Antaranya disyariatkan pengharaman arak.

     Terpelihara harta daripada kerosakan, pembaziran dan pencerobohan tanpa hak. Antaranya disyariatkan hukuman Hudud bagi kesalahan mencuri dan merompak. 

Percubaan untuk bermain dengan istilah 

Setelah kita memahami secara ringkas konsep Maqasid asy-Syariah dan Hifzu ad-Din tadi, jelaslah kepada kita bahawa yang dikehendaki dengan menjaga agama ialah menjaga agama Islam.

Namun, Dr Mujahid menyatakan prinsip Hifzu ad-Din, bukan setakat jaga agama Islam sahaja. Bahkan jaga semua agama. Kerana Islam adalah sebagai rahmat kepada seluruh alam.

Beliau dengan itu dilihat mencampur-adukkan istilah-istilah IImu Maqasid asy-Syariah dengan konsep ‘tidak ada paksaan dalam agama’. Di mana konsep pemerintahan di dalam Islam memberi jaminan kebebasan beramal dengan agama selain Islam di dalam Negara Islam. Ini menggambarkan kecelaruan akademik yang sangat nyata.

Di manakah konsep ‘tidak ada paksaan dalam agama’ di dalam kerangka Ilmu Maqasid?  

Apabila melihat kepada konsep ‘tiada paksaan dalam agama’, kita dapati kehendak Syarak ialah untuk memberi kebebasan memilih kepada manusia. Dan manusia akan diberikan ganjaran syurga atau diseksa dengan azab neraka berdasarkan pilihan yang dibuatnya semasa di dunia.

Untuk seseorang membuat pilihan yang baik, ia memerlukan akal yang ada kemampuan untuk berfikir secara waras. Oleh itu, urusan kebebasan memilih agama adalah termasuk di dalam Hifzu al-Aql, bukannya Hifzu ad-Din. Jika ada paksaan, akal tidak lagi bebas untuk membuat pilihan.

Oleh itu, orang gila tidak disyariatkan untuk memilih agama, solat, puasa dan sebagainya. Kerana dia tidak ada akal untuk membuat pilihan.

Begitu juga, Syarak menggalakkan kita agar berdakwah mengikut kadar kemampuan akal seseorang. Kita juga dituntut agar berdakwah kepada orang kafir mengenai kebenaran Islam menggunakan dalil akal yang disepakati bersama oleh manusia yang waras. Ia diajarkan di dalam al-Quran dan juga di dalam as-Sunnah.

Jadi menjaga akal adalah lebih terbuka. Menjaga agama adalah lebih khusus. Menjaga akal semua manusia supaya ada kebebasan memilih. Tetapi menjaga agama adalah khusus untuk agama yang diredhai oleh Allah S.W.T semata-mata, tidak agama lain.

Jika agama lain, turut dijaga oleh Syarak bermakna tidak ada lagi kewajipan dakwah dan jihad. Bahkan, Allah S.W.T memberi kebebasan memilih kepada semua manusia. Namun Allah S.W.T hanya menjaga dan memelihara agama yang diredhaiNya.

Menggunakan alasan Maqasid Syariah untuk menolak pelaksanaan Hukum Syarak

Mutakhir ini juga, ada golongan yang menggunakan konsep Maqasid asy-Syariah untuk menghalang pelaksanaan Syariah. Antaranya golongan Islam Liberal.

Mereka tidak menerima konsep asas Ilmu Akidah dan Usul Fiqh, tetapi terus terjun untuk mengaplikasikan Ilmu Maqasid asy-Syariah mengikut tafsiran mereka yang dangkal. Hasilnya, tidak ada satu pun hukum Islam yang dilihat baik dan bermanfaat di mata mereka.

Menggunakan alasan Maqasid asy-Syariah untuk membolehkan agama lain diberi kebebasan menyebarkan agama mereka sebebas-bebasnya di Malaysia

Ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini membuka ruang yang luas agar agama-agama selain Islam juga boleh disebarkan secara bebas seperti agama Islam di dalam negara kita.

Ini bertentangan dengan peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Isu seperti patung besar ‘Jesus Christ’ yang disalib tersergam megah di Negeri Melaka. Antara negeri paling awal menerima Islam dan mendaulatkan hukum syariat-Nya pada abad ke-15. Suatu pukulan hebat kepada umat Islam di negara kita.

Walhal mengikut Maqasid Syariah, konsep Hifzu ad-Din menghendaki agar Syiar Islam mesti lebih tinggi daripada syiar agama lain di dalam sesebuah Negara Islam.

Sabda Nabi S.A.W:

“Islam itu tinggi, dan tiada yang boleh ditinggikan lebih daripadanya.”

Kesimpulan

Sebagai seorang Menteri, Dr Mujahid sepatutnya lebih teliti di dalam kepetahan beliau berbicara.

Apa yang kita lihat ialah percubaan beliau untuk bermain istilah bagi menunjukkan kewibawaan akademiknya, akhirnya didapati hanya menunjukkan kedangkalan kefahamannya mengenai istilah-istilah yang disebutnya.

Ya, sebagai Menteri tentulah ramai juga yang ‘membela’ beliau. Percubaan ‘mengampu’ juga jelas kelihatan. Itulah adat dunia, walaupun di Malaysia Baru.

Kepada Dr Mujahid, kita berharap agar dapat berperanan dengan lebih efektif untuk ‘menjaga agama’ di Malaysia Baru ini. Beberapa perkembangan semasa, dilihat sangat tidak memberangsangkan ke arah meninggikan Syiar Islam di negara kita.

Dengan latar belakang Menteri baru ini, kita tentulah berharap agar kemajuan Islam di negara kita akan dapat mencapai tahap yang lebih tinggi daripada tahap pencapaian Kerajaan BN di bawah Datuk Jamil Khir sebelum ini. 

ZAKARIA ISMAIL 
Ahli Jawatankuasa Kerja 

PAS Kawasan Marang

Sabtu, 14 Julai 2018 – HARAKAHDAILY 14/7/2018