Gaza diserang dan ujian sensitiviti ke atas umat

KETEGANGAN di Gaza memuncak ekoran dari kematian seorang remaja Palestin pada Jumaat lalu dalam siri demonstrasi di sempadan Gaza dan Israel. Serangan besar-besaran yang dilancarkan oleh Israel pada hari Sabtu didakwa sebagai operasi terbesar sejak tahun 2014.

Advertisement

Dalam serangan udara kali ini, Israel mensasarkan 40 kawasan yang mereka dakwa sebagai lokasi strategik bagi HAMAS. HAMAS pula membalas dengan sejumlah serangan roket yang sebahagiannya berjaya ditangkis oleh sistem iron dome Israel. Melalui Mesir sebagai orang tengah, Gaza dan Israel setakat ini telah mencapai persetujuan gencatan senjata.

Konflik bersenjata yang berlarutan sejak ‘Great March Return‘ lalu telah mengorbankan 138 nyawa Palestin dan kira-kira 160,000 mengalami kecerderaan. Konflik yang telah berlangsung selama 100 hari itu juga dimanfaatkan oleh Israel sebagai medan eksperimen senjata-senjata baharu mereka.

Kini Gaza menjadi penjara terbuka yang dikepung tanpa pembelaan. Senario ini merupakan kesan langsung dari perang saudara pasca Arab Spring, menyebabkan situasi yang menghimpit Gaza semakin terbiar. Masyarakat Islam seluruh dunia disibukkan dengan konflik bersaudara yang sengaja dirancang seumpama di Syria sedangkan Palestin terbengkalai.

Dalam wawancara al-Jazeera dengan pemimpin Saadet Turki, Karamollaoglu mendakwa bahawa juruterbang jet-jet pejuang Israel yang bertanggungjawab mengebom Gaza menjalani latihan penerbangan di Turki. Hal ini menimbulkan keresahan di kalangan umat Islam yang menaruh harapan kepada Turki, sejauh mana keseriusan dan integriti kuasa-kuasa Islam seperti Turki serta negara-negara umat Islam yang lain. Umat mengharapkan paduan kuasa umat Islam dalam menangani tekanan ke atas Gaza secara serius dan berintegriti.

Jika kita perhatikan seakan menjadi rutin setiap kali dunia mengalami demam Piala Dunia, Israel menyerang Palestin. Umat pula seakan tidak menghiraukan tragedi yang berlaku. Barangkali sangat benar, kita sedang tidur nyenyak dalam keadaan mementingkan kepuasan diri sendiri.

ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
15 Julai 2018 – HARAKAHDAILY 15/7/2018