Gesa PM batal pengiktirafan UEC

MAPPIM bersama gabungan 300 NGO Gerakan Pembela Ummah (Ummah) menggesa dan mendesak Tun Mahathir campur tangan bagi membatalkan pengiktirafan UEC yang telah diumumkan oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Advertisement

Gesaan ini selaras dengan pendirian Tun Mahathir sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun yang lalu, beliau begitu tegas menolak tuntutan pertubuhan sekolah Cina Dong Zong untuk mengiktiraf UEC.

Maka sangat wajar beliau sebagai Perdana Menteri kali ke-2 yang memimpin Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mestilah menjadi kerajaan yang prihatin mendengar keresahan rakyat yang menolak UEC dalam kerangka Sistem Pendidikan Kebangsaan.

MAPPIM dan gabungan 300 NGO Gerakan Pembela Ummah (Ummah) menegaskan bahawa UEC tidak perlu diiktiraf ke dalam kerangka Sistem Pendidikan Negara.

MAPPIM dan Ummah tetap bertegas akan menggerakkan himpunan bantahan besar-besaran kebangkitan rakyat untuk menolak pengiktirafan Menteri Pendidikan terhadap UEC sekiranya beliau gagal membatalkan pengiktiran tersebut dengan meyakinkan dalam masa 7 hari.

Perdana Menteri juga digesa untuk mengambil alih sementara jawatan Menteri Pendidikan kerana Dr Maszlee Malik dilihat tidak konsisten, berdolak-dalik dan berbelit-belit dalam mengeluarkan kenyataan sehingga menyalahkan pula pihak media. Beliau dilihat tidak bersedia dan meyakinkan untuk menerajui Kementerian Pendidikan.

Tindakan beliau telah menjejaskan kredibiliti dan imej Kementerian Pendidikan yang sepatutnya berintegriti tinggi dalam membuat sesuatu kenyataan penting berkaitan polisi pendidikan di negara ini, kerana ia akan memberi implikasi yang besar kepada kerajaan keseluruhanya.

UEC adalah perkara besar yang melibatkan polisi pendidikan masa depan negara, juga melibatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi pendidikan negara selain aspek lain berkaitan UEC yang tidak sepatutnya diiktiraf dalam kerangka Sistem Pendidikan Negara.

Sehingga kini sokongan kepada bantahan UEC terus melonjak, Page Gerakan Pembela Ummah terus meningkat kepada 83 ribu pelawat.

MOHD ZAI MUSTAFA
Ketua Eksekutif MAPPIM
Ahli Jawatankuasa Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) – HARAKAHDAILY 16/7/2018