Kejaksaan negara, kebijaksanaan Mahathir ditakwil

PAS mendahului mentakwil kebijaksanaan PM Mahathir dan kerajaan Harapannya menyerahkan pengurusan kejaksaan negara kepada tiga serangkai pakar undang-undang kepada warga bukan Melayu/Islam – Peguam Negara, Ketua Hakim Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Advertisement

Sebelum yang lain mengandaikan ia membimbangkan masa depan Islam, telah disarankan media arus perdana betapa banyak pihak bimbang terhadap masa depan Islam apabila tiga bukan Islam dilantik mengetuai badan kehakiman negara.

subky 1Saya cari yang dikatakan banyak itu bagi megetahuan komennya, tak jumpa. Yang jumpa PAS saja. Mahaguru undang-undang UIA mengira takwil PAS itu berasas. Yang lain kata jangan bimbang kerana mereka dilantik sekejap saja, antara dua tahun dan bagi menteri mungkin panjang sedikit.

Saya tidak berhajat kali ini bagi menghuraikan apakah kebimbangan itu? Cuma mungkin tindakan Mahathir itu mahu mencontohi Tunku Abdul Rahman Putra mengangkat bukan Melayu memegang jawatan penting mula-mula merdeka dulu. Bukan Melayu mungkin tidak minta seperti Tommy Thomas tidak minta jadi Peguam Negara. Mahathir dan kerajaan Harapan yang gatal mengangkatnya.

Tunku demi membuktikan kesaksamaannya, keterbukaan dan tidak perkaumannya menawarkan bukan Melayu jadi Gabenor Pulau Pinang pertama setelah merdeka dan Melayu jadi Gabenor Melaka. Cina jadi Ketua Menteri Melaka dan Cina jadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

Orang Islam Pulau Pinang tidak setuju. Gabenor mesti Melayu, Cina jadi Ketua Menteri tidak mengapa. Maka Tunku terpaksa batalkan Leong Yew Koh jadi Gabenor Pulau Pinang jadikan dia Gabenor Melaka. Raja Tun Uda tidak jadi Gabenor Melaka tapi jadi Gabenor Pulau Pinang.

Melayu Pulau Pinang terima Ketua Menteri Cina dengan andaian sekejap. Tetapi jadi sepanjang masa.

Gabenor Cina baik bagi Pulau Pinang atau Melaka, tidak jadi masalah bagi Tunku dan orang yang sefikiran dengannya kerana Gabenor tiada kuasa esekutif.

Bising Melayu seluruhnya bergabenorkan bukan Islam kerana ia jawatan simbolik dan dia ahli dalam majlis dan Mesyuarat Raja-Raja Melayu. Boleh pula bukan Melayu duduk setaraf dengan Raja-Raja. Kerana Gabenor itu adalah ganti Yang di-Pertuan Agong di negeri yang tidak beraja, maka boleh pula bukan Islam jadi ketua agama di negeri yang bergabenor.

Semuanya mentakwil kebijaksanaan Tunku dan Umno. Sikap Tunku itu dikira bukan kesaksamaan tetapi keterbukaan yang keterlaluan dan melampau batas. Dia dikira memberi muka. Yang kuat mentakwil Tunku itu ialah Dr. Mahathir sampai mengeluarkan buku Malay Dilemma.

Lepas penggal itu Tun Leong Yew Koh tidak jadi gabenor lagi. Tapi bila Malaysia dibentuk, Tunku beri peluang kepada bukan Islam jadi Yang Dipertuan Negeri tetapi mereka hendak jadi Islam. Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew sememangnya pintar. Semasa Singapura dalam Malaysia, diangkatnya Yusuf Ishak jadi Yang Dipertuan Negeri Singapura dan kemudian jadi Presiden. 50 tahun kemudian baru ada Melayu jadi Presiden kedua Singapura.

Mungkin bangsa-bangsa tidak berbangkit isu Islam dan bukan Islam. Tunku angkat bekas hakim Ramani dari kaum India jadi wakil tetap di PBB. Kerana bukan Islam dia sokong India dalam perbalahannya dengan Pakistan. Jatuh status diplomasi kita dalam kalangan negara Islam.

Tunku dan Mahathir cuba buktikan tidak perkauman. Pro Islam PM dan kerajaan tidak meningkat suhu perkauman tetapi dengan kesaksamaan Mahathir dan Tunku api perkauman merayap semula dalam dedak.

Jika Tunku ada mungkin dia minta Tommy masuk Islam untuk jadi Peguam Negara. – HARAKAHDAILY 17/7/2018