Gua Musang bukan lagi kubu Umno

KOTA BHARU: Umno dan Barisan Nasional (BN) Gua Musang tidak mampu lagi mendabik dada dengan menganggap kawasan parlimen itu sebagai kubu tradisional mereka.

Advertisement

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas PAS hampir berjaya menawan kubu Umno terbabit, di mana hanya kekurangan 461 undi di Dun Nenggiri.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, PAS berjaya mengurangkan banyak majoriti BN di Gua Musang.

Katanya, Dun Nenggiri calon PAS, Mohd Saufi Abdul Razak hanya kalah dengan majoriti kecil kepada Abdul Aziz Yusof.

“Ini satu kejayaan besar selepas Umno begitu lama berkubu di situ di bawah pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah,” katanya di sini.

Calon PAS, Ustaz Abdullah Husain hanya kekurangan 3,913 undi bagi merampas kerusi parlimen Gua Musang daripada Tengku Razaleigh yang dipertahan sejak sebelum 1990.

Sebelum ini kerusi Dun Nenggiri dan Paloh ditanding PKR sebagai mewakili Pakatan Rakyat dan Barisan Alternatif.

Oleh itu kata Che Abdullah yang juga anggota parlimen Tumpat, PAS perlu bekerja lebih kuat lagi untuk menghadapi PRU akan datang.

Pada PRU 2008 PAS pernah menguasai Dun Galas melalui Chek Hashim Sulaima. Pada PRU 1990 dan 1995 PAS bergabung dengan Semangat 46 menguasai sepenuhnya parlimen Gua Musang. – HARAKAHDAILY 17/7/2018