Pelajar istimewa dirai ke dusun makan durian

KEMAMAN: Seramai 40 pelajar istimewa mendapat pengalaman bermakna apabila berpeluang melawat dusun dan menikmati durian di Kampung Batu Putih, di sini kelmarin.

Advertisement

Mereka adalah para pelajar dari Program Pendidikan Khas Integrasi Sekolah Kebangsaan Seri Gelugor dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Kertih, di sini.

Kehadiran mereka turut dirai Adun Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili di mana ternyata tidak menang tangan melayan gelagat mereka yang mencuit hati.

“Alhamdulillah semuanya gembira, pelajar-pelajar cukup seronok dapat menaiki kenderaan pacuan empat roda, melawat sekitar dusun serta memakan raja buah (durian) ini.

“Pendedahan kepada aktiviti luar sebegini perlu, untuk menambah keyakinan mereka mengharungi kehidupan seharian walaupun mereka ada sedikit kekurangan.

“Guru-guru dan sukarelawan banyak membantu kejayaan program, dusun ini juga sesuai dan selamat untuk pelajar-pelajar mendapat pengalaman baru,” puji Ir Saiful.

Beliau juga merakamkan perhargaan terima kasih kepada Persatuan Bantu Insan Kertih (Perbaik) yang menganjurkan program tersebut.

Ujarnya, ia sebagai tanda keprihatinan Badan Bukan Kerajaan (NGO) tersebut terhadap nasib pelajar-pelajar istimewa ini.

“NGO Perbaik sangat aktif membantu kanak-kanak istimewa sekitar kawasan Dun Kemasik, tahniah kepada mereka, kita boleh berkolaborasi lagi di masa akan datang,” harap beliau. – HARAKAHDAILY 17/7/2018

IMG 20180717 WA0003