Kesultanan Melaka laksana Perundangan Islam

MELAKA adalah Kerajaan Islam pertama di Nusantara yang dapat melaksanakan Undang-undang Syariat secara tersusun apabila usaha-usaha untuk melakukan kodifikasi Undang-undang Islam bermula pada zaman Sultan Mohammad Shah (1284-1341M). Walaupun Kerajaan Islam telah wujud di Perlak sejak 840M, dan Marco Polo mencatatkan mengenai pelaksanaan Syariat di sana ketika kunjungannya pada 1292M, namun tidak ada bukti mengenai kewujudan undang-undang yang dikodifikasikan. Demikian juga halnya di Samudera-Pasai dan Melaka pada peringkat awal, di mana semua bentuk pelaksanaan Syariat adalah berdasarkan Kitab-kitab Fiqh Mazhab yang dibawa dari Arab atau Parsi, dan dilaksanakan mengikut interpretasi para ulamak semasa. Inilah bentuk pelaksanaan Syariat pada peringkat terawal di Nusantara. Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 1303M dikatakan bukti artifak terawal dalam pengkodifikasian Undang-undang Islam di rantau ini.

Advertisement

Mendepani sistem pentadbiran yang lebih cekap dan tersusun, dengan bantuan para ulamak, Sultan Muhammad Shah telah memulakan usaha untuk mewujudkan kod undang-undang yang tersusun bagi Negeri Melaka dan jajahannya, sehingga akhirnya berjaya melahirkan dua teks undang-undang, Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka yang disiapkan pada zaman Sultan Muzaffar Shah (1343-1373). Dengan wujudnya teks undang-undang yang berasaskan Syariat ini, Kerajaan Melaka telah mewujudkan pula jawatan pentadbiran pengadilan agama iaitu Qadhi yang dimulakan dengan pelantikan Maulana Syed Yusof Abdul Aziz, yang lebih terkenal dengan panggilan sebagai Qadhi Yusof pada zaman Sultan Muzaffar Shah ini. Walaupun tidak banyak dicatatkan mengenai peristiwa pelaksanaan syariat seperti di Samudera-Pasai, tetapi kewujudan kod undang-undang ini cukup untuk membuktikan berlakunya pelaksanaan Syariat di Melaka.

Rujukan Syariat di Melaka peringkat permulaan

Pada generasi pertama umat Islam di Nusantara, pelaksanaan Syariat hanya berlaku dalam hukum individu dan keluarga, di mana di perkampungan Islam seperti “Ta-shih” yang dilaporkan oleh pencatat China, para ulamak dijadikan rujukan mengenai Syariat. Peringkat kedua baharulah diwujudkan pemimpin rujukan seperti Imam atau Kadhi untuk mengendalikan pelaksanaan Syariat mengikut aliran Mazhab Fiqh yang masih baru berkembang ketika itu. Apabila wujudnya Kerajaan Islam di Perlak pada 840M, baharulah pelaksanaan Syariat mulai tersusun dengan adanya jawatan Qadhi, Sheikhul Islam dan Mufti, tetapi kod undang-undang belum ada. Sistem pengadilan atau Mahkamah Syariah telah wujud, di mana para ulamak berpandukan kepada Kitab-kitab Fiqh Mazhab yang sedang berkembang di Asia Barat kala itu. Hal inilah yang dimulakan di Melaka setelah Islamnya Parameswara sekitar 1267M. Ulamak yang diketuai oleh Makhdum Syed Abdul Aziz bukan sahaja mengajarkan ilmu agama, tetapi menjadi rujukan pelaksanaan Syariat.

Menurut Auni Abdullah, Kitab-kitab Fiqh Berbahasa Arab telah mulai masuk ke Nusantara dengan dibawa oleh para ulamak dan pendakwah, kemudian menjadi rujukan pelaksanaan Syariat. Pada peringkat awal ini, beberapa Kitab Fiqh Syafie seperti Takhlis al-Minhaj, iaitu ringkasan Kitab Minhaj at-Talibin karya Imam Nawawi (m. 1277M), al-Muharrar oleh Imam ar-Rafie (m. 1226M) dan al-Ghayah wal Taqrib oleh Qadhi Abu Syujak (m. 1197M) dikatakan telah digunakan sebagai sumber rujukan Hukum Syariat di Melaka. Maulana Abu Bakar sendiri disebutkan mengajar kitab, Dur al-Maznum di Melaka, iaitu karangan Abu Ishak dari Makkah dan diterjemah oleh Makhdum Patakan di Pasai atas perintah Sultan Mansor Shah (1373-1446M). Pada abad ke-15M, baharulah Kitab-kitab Mazhab Syafie seperti al-Mahalli karya Jalaluddin al-Mahalli (m. 1460M), Fath al-Qarib karya Ibnu Qassim al-Ghazzi (m. 1513M), Tuhfat al-Muhtaj karya Ibnu Hajar al-Haitami (m. 1566M), Fath al-Wahhab karya Zakariya al-Ansori (m. 1520M), Nihayat al-Muhtaj karya Imam ar-Ramli (m. 1569M) dan Mughni al-Muhtaj karya Khatib Syarbini (m. 1570M) tersebar dan menjadi rujukan di Nusantara, khususnya di Melaka.

Pelaksanaan Syariat: Pengaruh Islam dalam Undang-undang

Setelah beberapa ketika Melaka bergantung kepada penafsiran para ulamak semasa dalam melaksanakan syariat dan hanya merujuk kepada kitab-kitab fiqh yang ada, maka pada zaman Sultan Muhammad Shah, mulai digubal undang-undang berasaskan Hukum Islam di Melaka. Dua teks undang-undang yang berjaya disiapkan pada zaman Sultan Muzaffar Shah ini ialah Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka. Menurut Azni dan Liaw Yock Fang bahawa Hukum Kanun Melaka yang mempunyai 44 fasal, mengandungi enam bahagian utama iaitu, i) Hukum Melaka, ii) Hukum laut, iii) Hukum perkahwinan, iv) Hukum berniaga, v) Undang-undang negeri dan vi) Undang-undang Johor. Menurut Azni, Hukum Kanun Melaka telah memperlihatkan dengan jelas penerapan Hukum Islam ke atas hukum adat, dan sangat dipengaruhi oleh karya-karya Fiqh Qadhi Abu Sujak dan Ibnu Qassim al-Ghazzi.

Dalam Hukum Kanun Melaka, undang-undang keluarga Islam tercatat pada fasal 25-28 berkaitan hukum perkahwinan dan perceraian mengikut Mazhab Syafie. Liaw Yock Fang mengatakan ia ditulis oleh Sheikh Abdul Ghoyu menurut versi Jakarta. Fasal 30-42 pula adalah Undang-undang Sivil Islam berkait dengan hukum perniagaan. Dalam bab jenayah, Hukum Kanun Melaka menyenaraikan kesalahan zina, liwat, rogol (fasal 40 dan 43) membunuh (fasal 5, 8, 18, 36 dan 43), mencuri dan merompak (fasal 11), murtad dan minum arak (fasal 36 dan 42), sebagai perbuatan jenayah di Melaka, selain beberapa kesalahan lain. Ini menunjukkan Hukum Hudud, Qisas, Diyat dan Takzir telah dilaksanakan di Melaka.

Struktur pentadbiran Syariat di Melaka

Di dalam Undang-undang Laut Melaka, pada bahagian permulaan (preamble) disebutkan, “Ya Ghafur ar-Rahim, Yang Amat Mengampuni lagi Mengasihani dengan berkat agama kekasih-Nya Muhammad S.A.W dan rahmat Allah akan sekalian umatnya yang membawa iman dan mengerjakan Syariatnya, minta tolong kepada sekalian Sahabatnya ke hadrat Allah Taala memberi syafaat akan segala umatnya, takut akan amar-Nya dan Nahyu-Nya, maka memohonkan ampun, Allah Rabbi al-‘Arsyi al-Karim. Preamble ini sangat jelas menunjukkan tujuan penggubalan undang-undang di Melaka adalah untuk melaksanakan Syariat Islam dengan menyuruh kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran. Proses pelaksanaan Syariat ini tidak terhenti dengan penggubalan kod undang-undang semata-mata, tetapi turut melibatkan kewujudan struktur pentadbiran Pengadilan Islam di Melaka.

Dalam Hukum Kanun Melaka, disebutkan bahawa semua undang-undang adalah berada di bawah kekuasaan Sultan Melaka, di mana semua hukuman bunuh diputuskan oleh Sultan sebagai kuasa kehakiman tertinggi. Ada pun Bendahara adalah menjadi Ketua Hakim bagai semua perbicaraan di Mahkamah Melaka, dengan Qadhi adalah Hakim Syarie yang melaksana tugas-tugas Kehakiman Islam di bawah Bendahara. Dicatatkan oleh Tun Seri Lanang, bahawa dua Qadhi yang terkenal berkhidmat sejak zaman Sultan Muzaffar Shah ialah Qadhi Yusof dan anaknya, Qadhi Munawar Shah. Pada zaman Sultan Mahmud Shah dan Sultan Ahmad Shah, dipercayai jawatan Qadhi dipegang oleh Maulana Sadar Jahan yang dilaporkan menjadi penasihat utama Sultan.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
3 Zulkaedah 1439 / 16 Julai 2018 – HARAKAHDAILY 18/7/2018