Tunai segera janji hapus hutang peneroka Felda

tuan ibr

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menunaikan segera janji menghapuskan hutang peneroka Felda sebagaimana tempoh 100 hari yang telah diberikan oleh Pakatan Harapan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Advertisement

Gesaan itu dinyatakan oleh Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) dalam ucapan sulung semasa membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat, petang ini.

Beliau turut membangkitkan aduan dari peneroka Felda yang menanam dengan Felda berdepan masalah bayaran sara hidup sebanyak RM1,200 sebulan yang tidak dibayar kepada peneroka yang tidak punya hasil sebagaimana sebelum ini.

“Tuan Yang Dipertua, pada tahun 2017 satu konsortium telah ditubuhkan sebuah syarikat Sinergy Perdana Sendirian Berhad yang menggabungkan tiga agensi Felda, Felcra dan Risda telah pun mendirikan sebuah kilang bagi mengeluarkan baja yang menelan kos sebanyak RM47 juta,” ujarnya yang juga Timbalan Presiden PAS.

Katanya, semua agensi Felda, Felcra dan Risda memerlukan sebanyak 420,000 tan setahun, justeru itu beliau menuntut penjelasan daripada pihak kerajaan sejauh mana kilang itu berjaya mencapai matlamat dan kemampuan sebenar pengeluaran baja yang mampu dikeluarkan oleh syarikat tersebut.

“Saya juga ingin menarik soal membetulkan semula Felda sebagaimana telah diasaskan oleh almarhum Tun Razak, Felda ditubuhkan untuk memberi peluang menjana ekonomi dalam kalangan rakyat yang tidak ada tanah.

“Sayangnya kita dapati bahawa Felda telah lari daripada fungsi asalnya dengan jumlah hampir 360,000 hektar ladang Felda yang tidak dimasukkan lagi peneroka sebagaimana tujuan asal ia dibina,” katanya.

Beliau menyampaikan hasrat mahukan kerajaan baharu mengembalikan semula fungsi Felda dengan memasukkan peneroka-peneroka di tanah-tanah peneroka sejumlah 360,000 hektar kerana diyakini mampu menjana ekonomi rakyat miskin khususnya di kawasan luar bandar. – HARAKAHDAILY 19/7/2018