Kerajaan mesti benarkan RUU355 dipinda

KUALA LUMPUR: Mahkamah Syariah ketika ini berjalan tidak menepati kehendak syarak sebagaimana dalil ditentukan al-Quran atau Hadis Nabi S.A.W yang menjadi tanggungjawab umat Islam membetulkannya.

Advertisement

Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS – Kubang Kerian) berharap, Kerajaan PH menunaikan janji bahawa RUU355 iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) adalah tanggungjawab kerajaan membawanya ke Parlimen.

Jelasnya, undang-undang tersebut perlu diperbetulkan menurut tuntutan syarak dan ianya bukanlah pelaksanaan Hudud sebagaimana digambar dan dikelirukan oleh sebahagian media.

“Contoh, tuduhan ke atas penzina tanpa bukti. Allah menetapkan menerusi Quran hukuman 80 sebatan syarak, bukan enam kali. Hari ini Mahkamah Syariah hanya ada bidang kuasa enam kali. Enam kali tidak ada dalil.

“Tidak ada satu dalil hadis atau al-Quran yang menjadi sandaran kepada pelaksanaan undang-undang tersebut,” ujarnya membahas ucapan Titah Diraja pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, semalam.

Terdahulu jelas beliau, Muslim di negara ini turut menghadapi masalah untuk melaksanakan tanggungjawab agamanya seperti kewajipan menutup aurat kerana sekatan pihak agensi mereka berkerja.

Beliau memberi contoh perkara tersebut berlaku sebagaimana di syarikat penerbangan selain juga terdapat kes di mana syarikat-syarikat swasta menghalang pekerjanya untuk menunaikan Solat Jumaat.

“Kerana itu kita menuntut supaya umat Islam sebagaimana agama-agama lain bebas mengamalkan kehendak dan peraturan agama mereka dan ini mesti diberi keutamaan khususnya oleh Kerajaan PH,” serunya. -HARAKAHDAILY 20/7/2018