Malaysia diharap depani tuduhan Barat terhadap Islam

KUALA LUMPUR: Kerajaan diharap dapat memberi ruang yang adil dalam menghadapi tuduhan terhadap Islam sehingga mencetuskan Islamophobia di negara Barat, khususnya Amerika dan Eropah, ujar Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS – Marang) ketika membahas Titah DiRaja pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini sebentar tadi.
 
“Betapa Islam dikaitkan dengan keganasan walaupun kini ternyata negara Barat itu terlibat dalam mewujudkan kumpulan ISIS yang dikaitkan terhadap Islam. Merekalah menjadi pembekal utama senjata dan memberi tempat kepada kumpulan itu.
 
“(Mereka juga) memberi lesen kepada negara haram Israel memiliki apa sahaja senjata pemusnah dan bertindak sewenang-wenang terhadap rakyat Palestin yang dihalau daripada rumah kediaman. Dan rompakan bukan sahaja harta, bahkan tanah air mereka juga dirampas.
 
Tegas beliau, fitnah terhadap Islam itu tidak menepati ajaran Islam yang mengharamkan tindakan melampau walaupun terhadap musuh agama, umat dan negaranya biarpun diceroboh dan dijajah sebagaimana petunjuk Allah pada ayat 190 surah al-Baqarah.
 
Terang beliau, Islam mengharamkan pembunuhan terhadap rakyat awam, bukan sahaja orang tua, kaum wanita dan kanak-kanak, termasuklah paderi dan sami di rumah-rumah ibadat mereka.
 
Tetapi kini kesalinya, ternyata betapa Barat terlibat dalam krisis yang berlaku di serata dunia di sebalik penjajahan semula dan kepentingan ekonomi, termasuk perniagaan senjata secara gelap dan nyata.
 
“Kita juga melihat berbagai agama dalam masyarakat Islam boleh dibanding, boleh dibanding dalam keadaan aman termasuk di negara kita. Bandingkan dengan masyarakat Islam di negara yang lain, Rohingya dan lain-lain lagi, apa yang dilakukan terhadap orang Islam?
 
“Dalam hal ini kita perlu berfikir panjang dan menunaikan tindakan yang penting bukan sahaja mempertahankan Islam, bahkan Islam mempertahankan manusia itu sendiri,” ujar beliau.
 
Katanya, PAS terus beristiqamah dengan petunjuk Allah dalam hubungan dengan semua pihak berpandukan firman Allah Taala pada ayat 2 surah al-Maidah. – HARAKAHDAILY 23/7/2018

Advertisement