Malaysia mampu tangani cabaran ekonomi semasa  

KUALA LUMPUR: Malaysia berkeupayaan menghadapi cabaran ekonomi global masa kini, dengan kedudukan geografi negara yang kukuh, sumber bumi dipunyai serta tenaga manusia dimiliki, namun tetap perlu melakukan pembaharuan dan mengutamakan kepentingan rakyat, demikian dinyatakan Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS – Marang).
 
Berucap membahas Titah DiRaja pada Sidang Dewan Rakyat sebentar tadi, beliau berkata, persaingan di arena antarabangsa yang mencetuskan perang ekonomi di kalangan kuasa besar khususnya China dan Amerika menuntut Malaysia mempunyai jati diri agar tidak tertimpa tempias perang tersebut.
 
“Hasil bumi yang melimpah ruah dan tenaga manusia yang berkepakaran dan bertenaga, sekiranya diolah dengan baik, kita dapat memperkasakan diri dan negeri kita di tengah-tengah percaturan antarabangsa. Langkah Pandang Ke Timur yang dilaksanakan dahulu dalam aspek ekonomi perlu dilakukan pembaharuan terkini.
 
“Khususnya meletakkan keutamaan kerjasama serantau di kalangan negara jiran dan negara sahabat. Kerjasama Negara Islam dan Negara NAM dahulu perlu ditingkatkan. Memilih pendekatan kerjasama dengan negara setaraf kita atau negara mundur adalah lebih baik daripada berlumba dengan negara besar yang rakus tidak bersimpati dengan kita.
 
“Namun hubungan dengan semua negara tidak diputuskan bersama kebijaksanaan kita. Tidak terikat sangat rapat dengan negara tersebut dan sangat bergantung dengan agensi yang dimonopoli oleh mereka seperti tabung kewangan antarabangsa IMF dan mata wang tunggal seperti US Dollar yang sangat diragui kebenaran dan kekukuhannya,” ujar beliau.
 
Nyata beliau, keadaan geografi  dan sumber semulajadi dipunyai negara perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, manakala kerjasama negara serantau dan sahabat yang tersebut perlu diadakan tanpa mendedahkan diri kepada pangkalan digunakan oleh negara besar berkepentingan di pihak mereka sahaja.
 
Lebih malang menurut Presiden PAS itu, sekiranya Malaysia mendedahkan diri menjadi medan peperangan di kalangan negara besar seperti yang pernah berlaku di abad lalu.
 
Pantai Timur, Sabah dan Sarawak
 
Melanjut perbahasan, beliau menyeru penyelesaian kedudukan Bumiputera yang masih kebelakang ditingkatkan lagi tanpa berlaku zalim terhadap pihak lain dengan menghidupkan semangat kerjasama dan bertolong menolong dalam masyarakat majmuk bersifat madani.
 
“Bukan semangat perlumbaan perkauman dan penindasan yang boleh mencetuskan ketegangan. Kedudukan negeri Pantai Timur Semenanjung dan juga Malaysia Timur Sarawak dan Sabah (di mana) daerah ini hanya diperah hasil buminya yang kaya dalam keadaan rakyatnya majoriti Bumiputera masih terpinggir.
 
“Dengan kemudahan asas yang diabaikan seperti pelabuhan, dan kawasan industri, bahkan lebuhraya yang lebih dipesatkan di Pantai Barat walaupun dalam keadaan ekonomi dunia yang juga menghala ke Timur bukan sahaja ke arah Barat. Bukan sahaja hubungan dagang kita dengan Eropah, termasuk dengan China dan Jepun. Di sini menunjukkan ada kedudukan Malaysia Timur dan Pantai Timur,” utara beliau.
 
Tangani beban rakyat
 
Beliau turut membawakan isu kos sara hidup rakyat yang tidak mampu menghadapi tekanan inflasi luar kawalan dengan mengingatkan supaya perkara tersebut ditangani selaras manifesto semua parti baik Kerajaan mahupun Pembangkang menawarkan perkara tersebut pada PRU14 lalu.
 
Namun katanya, bukan sekadar menukar GST kembali semula kepada SST yang laksana mencubit dengan tangan kanan, kemudian dicubit pula dengan tangan kiri di mana sakitnya sama atau lebih sakit lagi, sebaliknya memerlukan penyelesaian secara holistik, melibatkan penggunaan barangan dan tenaga Malaysia sendiri secara bijak dan insaf.
 
“Sama ada menangani disebabkan kuasa beli yang tidak kukuh, atau mata wang yang tidak stabil, atau barangan yang tidak seimbang dan saksama, hendaklah ditangani dengan penuh tanggungjawab. Bukan sekadar hanya percukaian yang meringankan bebanan kerajaan, bukannya bebanan rakyat.
 
“Konsep ekonomi Islam yang memberi penekanan halal dan haram, khususnya muamalah riba, menipu dan rasuah, yang diisytiharkan perang oleh Allah. Namun kini dianggap pula menjadi rukun dan syarat ekonomi moden. Walaupun sudah ada langkah kepada Muamalah Islam seperti perbankan Islam dan sebagainya, tetapi masih teragak-agak ke arah menghapuskan riba yang dikira dosa besar itu.

Advertisement

“Istilah berkat hanya dalam ekonomi Islam yang tidak ada dalam semua teori ekonomi,” ujar beliau membacakan surah al-‘Araf ayat 96 menyentuh perkara tersebut. – HARAKAHDAILY 23/7/2018