Pinda Akta lama, beri ruang PAS laksana Islam  

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan diterajui PH diharap lebih positif kepada pelaksanaan menghidupkan konsep Federalisma dan memberi banyak ruang kepada Kerajaan Negeri termasuk keterbukaan untuk meminda Perlembagaan dan akta-akta peninggalan penjajah kerana negara ini telah mencapai kemerdekaan lebih setengah abad.
 
Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS – Marang) ketika membahas Titah DiRaja pada Sidang Dewan Rakyat berkata, walaupun Parlimen telah mengadakan banyak pindaan, namun lebih penting adalah tidak meninggalkan pindaan untuk memperkasakan kedudukan Islam.
 
“Diharapkan banyak lagi ruang yang patut diberi kepada Kerajaan Negeri untuk menunjukkan model Islam yang kami (PAS) janjikan dalam manifesto negeri, khususnya dalam aspek memperkenalkan Islam yang menjadi tujuan kami.
 
“(Juga pindaan) seperti memperkasakan kedudukan Islam mengikut takrifnya yang sebenar dan hak Bumiputera dan Bahasa Kebangsaan yang masih ketinggalan,” ujarnya di Parlimen, di sini sebentar tadi. 
 
Terdahulu, beliau menyifatkan konsep Federalisme telah dilemahkan dahulu, namun PRU14 telah menunjukkan perubahan di mana menuntut keputusan rakyat dihormati dengan dibetulkan kesalahan dan menambah baik perkara yang betul.
 
Presiden PAS itu turut merakamkan penghargaan terima kasih atas kenyataan Perdana Menteri (PH – Langkawi) mengembalikan royalti petroleum yang tidak diberikan kepada Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu dahulu.
 
Ketika menjawab celahan soalan daripada Dato’ Sri Dr Ismail Mohamed Said (BN – Kuala Krau) berkaitan perkara itu, beliau menyatakan bahawa perjanjian antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Pusat dan Petronas itu telah dimeterai sejak 20 tahun lebih yang perlu dirujuk dan tidak dilanggari.
 
“Walaupun manifesto ini bukan kitab suci, tapi satu janji. Kitab suci mewajibkan kita tunaikan janji. Ini hakikat yang perlu kita pegang sebagai bukan sahaja orang Islam, termasuk penganut semua agama,” seru beliau.

Advertisement

Ketika menjawab celahan Dato’ Dr Abd Latif Ahmad (BN – Mersing) mengenai konsep Federalisma, beliau menyatakan bahawa PAS paling berpengalaman memerintah Kerajaan Negeri yang merasa betapa ia dicabul dengan begitu rupa.
 
Kerana itu katanya, PAS mengharapkan supaya Kerajaan Pusat menghormati pilihan Kerajaan Negeri sekiranya mahu kepada perubahan yang betul-betul positif kira dan tidak mengulangi amalan-amalan di zaman penjajahan dahulu di mana terpinggir mengekal cara seperti di zaman penjajah. – HARAKAHDAILY 23/7/2018