Damailah Almarhumah Nazirah di sana…

USIANYA baru sahaja menjangkau 38 tahun. Selama empat tahun beliau mengabdikan diri membantu Harakah sebagai wartawan, bermula di meja English Sections di bawah seliaan Saudara Hirman Firdaus Abdul Rahim.

Advertisement

Bakat dan tulisannya kemudian dicungkil untuk membantu Bahagian Bahasa Melayu di bawah seliaan saya.

Selama empat tahun Nazirah Nasrun@Siron meletakkan sepenuh masa yang ada untuk berbakti dengan lidah rasmi PAS.

Turun ke beberapa pilihan raya kecil, muktamar dan program-program besar PAS selain beberapa himpunan termasuk RUU355 dan Fastaqim.

Dia sering muncul membuat liputan bersama teman rapatnya, Nur Hasmira Mohammad@Mira di program program yang ada kalanya menjengah ke lewat malam.

Almarhumah Nazirah seorang yang rajin, namun terpaksa mengambil keputusan berhenti awal khidmatnya di Harakah kerana komitmen menjaga bondanya.

Almarhumah pergi menemui Penciptanya pada jam 11.45 malam tadi di Hospital Serdang dan jenazah kini dibawa ke Jalan Bakar Bata, Alor Setar dan dijangka dikebumikan di pekarangan Masjid Derga, jam 9 pagi.

Takziah kepada keluarga almarhumah. Pejuang tanpa nama, Damailah Dikau Di Sana.

Takziah daripada kami…

Wan Nordin Wan Yaacob
Ketua Pengarang Harakah dan seluruh kakitangan Jabatan Editorial Harakah.
25 Julai 2018 – HARAKAHDAILY 25/7/2018