Ehwal Islam: T’ganu mahu kerjasama Pusat

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Terengganu sekali lagi menegaskan kesanggupan untuk memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada Kerajaan Pusat bagi menjayakan sebarang program untuk kebaikan rakyat.
 
“Kerajaan Negeri sangat komited dalam membantu Pusat apatah lagi dalam hal yang melibatkan agama Islam kerana itulah dasar utama perjuangan Kerajaan Negeri melalui wadah politik PAS sebelum menang PRU, sekarang dan seterusnya.
 
“Persefahaman yang dicadangkan seperti menyediakan ruang kerjasama bagi tahfiz-tahfiz kendalian atau yang diiktiraf oleh Kerajaan Negeri oleh pihak JAKIM, pastinya akan membuka peluang baharu bidang ini.
 
“Juga Kerajaan Negeri mungkin boleh menawarkan tenaga bantuan bagi JAKIM memantau pengusaha-pengusaha yang mendapat sijil halal, agar berterusan mematuhi piawaian JAKIM, sekiranya JAKIM mempunyai kekangan kakitangan.
 
“Dan saya mewakili Kerajaan Negeri, merasa gembira apabila menteri mengesahkan Jakim tidak dihapuskan dan pusat-pusat tahfiz akan diperkasakan lagi, kami pegang janji pusat ini,” kata Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah.
 
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Seluruh Malaysia mewakili Terengganu.
 
Sidang yang diadakan buat kali kedua bagi tahun ini dan pertama selepas pertukaran kerajaan, dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr Mujahid Yusof dan timbalannya, Fauziah Salleh.
 
Turut hadir ke persidangan yang diadakan di Kompleks Islam Putrajaya itu ialah Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Mohamad Nordin Ibrahim serta kakitangan JAKIM yang berkaitan.
 
Ketika ini, Terengganu hanya mempunyai sebuah tahfiz yang mengadakan kerjasama dengan JAKIM iaitu Institut Pengajian Islam Terengganu (INSPI) semenjak 2011.
 
Ustaz Mohd Nor berhasrat untuk menambah bilangan tahfiz-tahfiz yang mengadakan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan JAKIM bagi memperkasakan aliran ini.
 
Dalam pertemuan lebih dua jam itu, JAKIM turut memberi penjelasan berkenaan beberapa perkara lagi yang berkait dengan pentadbiran mereka seperti isu imam, bilal, guru takmir dan KAFA.
 
Sementara itu, bagi menyahut kesanggupan kerjasama dengan Kerajaan Pusat, Terengganu akan menjadi lokasi penganjuran satu seminar berkaitan bahaya LGBT di Pejabat Agama Terengganu, anjuran JAKIM pada Ahad 29 Julai ini.
 
Seramai lebih 200 peserta dijangka hadir ke seminar selama sehari itu yang akan mendengar dan membincangkan mengenai ancaman dan juga penyelesaian masalah ini. -HARAKAHDAILY 25/7/2018
Advertisement