Guru murung, IPG ditukar fungsi

KUALA LUMPUR: Masalah dihadapi oleh para guru dan isu berkaitan institut perguruan telah dibangkitkan Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (PAS –Pasir Mas) semasa membahas Titah Di Raja pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini semalam. 

Advertisement

Menurut beliau, banyak rungutan diterima daripada para guru yang berduka lara kerana bertugas jauh daripada pasangan dan keluarga hingga berlaku beberapa kes kematian antara dikenalpasti berpunca daripada kemurungan.
 
“Walaupun isu ini masih dalam siasatan pihak berkuasa, tetapi kes-kes seperti ini sangat-sangat membimbangkan kita. Saya ada 245 data lengkap kes duka lara ini termasuklah kes anak sakit kronik sampai meninggal, tetapi tidak dapat bertukar.
 
Kes cikgu sendiri, guru sendiri sakit kronik, kemurungan yang teruk, terpaksa PJJ ‘Perkahwinan Jarak Jauh’ ada 26 kes. Isu yang berlaku ialah apabila ada guru-guru yang telah bertugas 10 tahun, 11 tahun, jauh daripada pasangan masing-masing belum dapat bertukar.
 
“Minta tukar tak dapat balik bertukar bersama-sama dekat dengan keluarga. Tetapi yang menyedihkan ada guru-guru, ada yang baru masuk mengajar, tetapi sudah dapat peluang untuk bertugas berdekatan dengan keluarga.
 
“Di sana adanya dakwaan ‘kabel-kabel’ tertentu (politik) digunakan untuk menyumbang kepada isu-isu seperti ini,” jelas beliau.
 
Secara sinikal, beliau menyatakan keyakinan bahawa Menteri Pendidikan pasti sensitif dan prihatin dengan isu tersebut sebagaimana perlepasan yang diberikan kepada kasut putih bertukar kepada kasut hitam.
 
Beliau berharap pihak Menteri Pendidikan dapat menyelesaikan perkara tersebut dengan mengadakan dialog dan mengubah sistem pertukaran guru yang ada supaya lebih adil dan samarata.
 
Ucapan beliau turut dicelah oleh Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS – Sik) yang membangkitkan mengenai kebajikan guru antaranya isu kuarters guru banyak terbengkalai sedangkan para guru terpaksa memotong elaun berkaitan. 
 
Sementara itu, Fadhli turut membangkitkan isu Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu, Kelantan di mana dikatakannya antara sembilan IPG ditukar fungsi
 
“Bagi kami di Kelantan, IPG ini merupakan kampus yang paling tua di Malaysia, dan ditubuhkan sejak tahun 1952. Dan di Kelantan hanya ada satu kampus sahaja, di Kuala Lumpur masih ada tiga, di Pulau Pinang masih ada dua.
 
“Jadi kita berpandangan bahawa IPG di Kota Bharu mohon supaya pihak kerajaan dapat memberikan keprihatinan tidak ditutup sebagai memberikan peluang kepada guru-guru untuk mendapat pendidikan, untuk mendapat kursus yang sewajarnya.
 
“Dan tidak ada rasional IPG ditukar kepada Kolej Vokasional kerana Kolej-kolej Vokasional yang masih ada pun masih belum lagi mencukupi pelajar mereka,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/7/2018