ECRL: Ambil tanah tanpa jejas hak

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memastikan urusan pengambilan tanah untuk pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dilakukan menurut undang-undang dan menjamin segala hak pihak yang terbabit.
 
Gesa Ahmad Amzad Hashim (PAS – Kuala Terengganu), terutama menyegerakan proses pembayaran pampasan tanah milik rakyat dan penggantian semula Tanah Rizab Melayu yang diambil bagi laluan projek mega tersebut.
 
Tegas beliau, pembayaran mestilah dengan kadar yang mencukupi mengikut tebus rugi sepadan dan nilai pasaran semasa, supaya tidak berlaku bantahan ketidakpuasan hati hingga boleh merencatkan projek akibat penangguhan terlalu lama.
 
Hujahnya, jaminan itu selaras Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan mengenai hak terhadap pemilikan yang juga bermaksud pelucutan harta, selain menuntut kerajaan tidak mengulangi kezaliman di mana akhirnya mengganggu kelancaran projek itu sendiri.
 
“Saya minta Kementerian berkenaan tolong ambil perhatian, kasihanilah penduduk yang berkenaan. Lagi pula jika ada pengambilan terhadap tanah Orang Asal dalam projek ini, pampasan yang diberikan mestilah berbentuk tanah, wilayah dan sumber-sumber yang sama kualiti, keluasan dan pampasan kewangan atau tebus rugi yang bersesuaian.
 
“Kita tidak mahu projek yang asalnya adalah bertujuan untuk memberi manfaat rakyat, akhirnya telah menyebabkan kerajaan menafikan pula hak Orang Asli untuk hidup menurut tradisi mereka,” ujarnya membahas Titah DiRaja pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini semalam.
 
Puji Amzad, projek ECRL mampu merangsang pertumbuhan ekonomi bagi negeri Pantai Timur di mana jajaran laluannya bakal mewujud dan meningkatkan kepesatan bandar-bandar sekitarnya dan pertambahan peluang pekerjaan kepada tenaga tempatan anak
 
Namun bertegas menggesa kerajaan memastikan pengambilan tanah yang banyak melibatkan perkampungan Melayu dan Tanah Rizab Melayu termasuk Hutan Simpan Kekal diberi jaminan sewajarnya. – HARAKAHDAILY 26/7/2018

Advertisement