Kesultanan Brunei dijajah, dipencil

KEBANGKITAN Brunei sebagai kuasa politik Islam selama dua abad setengah (1425-1598M) telah mulai tercabar dengan kedatangan penjajah-penjajah barat seperti Portugis, Sepanyol, Belanda, Amerika Syarikat dan British. Walaupun pada peringkat awal, Brunei berusaha mempertahankan wilayahnya di Visaya dan Luzon, tetapi mereka terpaksa menyerah kalah. Sulu dan Maguindanao walaupun tidak pernah kalah secara peperangan, tetapi melalui pakatan penjajah dalam Piagam Madrid 1885M, mereka mengisytiharkan kepulauan tersebut sebagai milik Sepanyol. Serangan-serangan Sepanyol ke atas Kampung Ayer, pusat pentadbiran Brunei pada 1578-1579M jelas memperlihat usaha Sepanyol untuk menguasai Brunei (baca: seluruh Borneo), tinggal lagi semangat jihad mereka yang menyekat kemaraan musuh. Namun begitu, walaupun Brunei berjaya mempertahankan kerajaannya dari serangan musuh, sejak naiknya Sultan-sultan yang tidak berwibawa pada abad ke-19M, Wilayah-wilayah Brunei, khususnya Sabah dan Sarawak telah secara berperingkat, jatuh ke tangan British.

Advertisement

Kesan daripada kedatangan penjajah ini, terutama Sepanyol dan British, akhirnya Brunei kembali memencil dengan wilayahnya hanya terhad dari Kuala Belait sampai Temburong sahaja, sedangkan Lawas yang berada di tengah-tengah antara dua kawasan itu telah dijual kepada Raja Putih Sarawak. Kerana mahu menyelamatkan wilayah-wilayahnya yang hampir habis dikuasai oleh musuh, Brunei bersetuju menjadi negara lindungan British mulai 1906M, yang secara politiknya, bermakna Brunei juga turut dijajah oleh British. Hasilnya, Residen British lebih berkuasa berbanding Sultan Brunei untuk tempoh dari 1906M hingga 1959M. Berbeza dengan Melaka (1262-1511M) dan Samudera-Pasai (1267-1521M) yang runtuh akibat landaan penjajah, Brunei yang menerima Residen British dapat bertahan sebagai kerajaan yang tidak mempunyai kuasa sehingga ia mencapai kemerdekaan pada 1984M. Kini, Brunei sedang berusaha untuk bangkit semula dengan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB).

Menakluk Borneo: Agenda Sepanyol

Gerakan penjajahan Khatolik adalah bertujuan untuk menghancurkan kuasa politik Islam, sekali gus menghancurkan Islam. Dendam ini membara kononnya kerana Islam pernah menduduki Andalusia (kini Portugal dan Sepanyol) selama lebih 700 tahun. Selepas kejatuhan Constantinople di tangan Daulah Othmaniyah pada 1453M, gereja Khatolik telah menyusun strategi dengan menggabungkan Castilian dan Aragon pada 1469M, kemudian menggerakkan usaha pelayaran untuk mencari India sehingga Christopher Columbus menemui Caribbean pada 1492M, serta bertindak menghancurkan Granada pada 1492M juga. Pada 1494M, Paus Alexander VI telah mengadakan persefahaman untuk menyerahkan kepada Sepanyol penjajahan di sebelah Barat dan kepada Portugal di sebelah Timur. Apabila Bartholomew Diaz tiba di Tanjung Harapan pada 1488M, gerakan untuk menjajah bumi Islam telah bermula. Setelah Portugis menduduki Kalikat pada 1498M, mereka telah menghancurkan Goa pada 1509M, sebelum menjajah Melaka pada 1511M. Susulan itu, Portugis menghancurkan pula Samudera-Pasai pada 1521M dan cuba menduduki Sunda Kelapa (Betawi) pada 1522M. Dalam masa yang sama, Portugis menduduki Pulau Hitu di Ambon (1512M) dan Ternate (1522M), sedangkan pelayar Portugis, Ferdinand Magellan telah tiba di Pulau Cebu setelah mengelilingi dunia dan cuba menguasai Wilayah Brunei itu pada 1521M, tetapi gagal kerana dia berjaya dibunuh.

Kegagalan Portugis menguasai Pulau Cebu telah mendorong kedatangan Sepanyol pula, walaupun pada awalnya berlaku pergeseran antara dua bangsa penjajah itu, tetapi pada 1559M, berlaku persefahaman Portugis-Sepanyol yang membolehkan Sepanyol menguasai Visaya dan Luzon. Tentera Sepanyol yang bergerak dari Mexico dengan diketuai oleh Miguel Lopez de Legaspi telah tiba di Pulau Cebu pada 1565M dan akhirnya dapat menjatuhkan Kerajaan Islam Amanillah di Luzon pada 1571M. Kejatuhan Luzon telah mendorong Sepanyol membuat rancangan yang lebih besar iaitu menakluk seluruh Pulau Borneo. Atas tujuan itu, mereka mengkaji kedudukan Brunei sebagai Kerajaan Islam yang menguasai Borneo, Mindanao, Visaya dan Luzon, sehingga Sepanyol menghantar 40 kapal ke Kampung Ayer (Bandar Seri Begawan) pada 1578M bagi memaksa Sultan Saiful Rijal (1530-1581M) menerima paderi Kristian untuk menyebarkan agama itu di Wilayah Brunei, tetapi ditolak oleh Sultan. Sepanyol kemudian menyerang Brunei dan menawan Istana Sultan pada 14 April 1578M. Setelah berundur ke Jerudong, kemudian ke Pulau Raja, Sultan Saiful Rijal bersama Bendahara Sakam untuk mengatur gerakan jihad untuk menyerang Kampung Ayer dan menawannya semula Istana dalam tahun itu juga. Selepas kekalahan Sepanyol ini, pada 4 Mac 1579M Sepanyol menyerang lagi tetapi gagal mengalahkan Brunei, yang menyebabkan seluruh rencana mereka untuk menguasai Borneo turut gagal, sedangkan gerakan mereka untuk menguasai Sulu dan Maguindanao juga gagal.

Gerakan penjajahan: Runtuhnya Empayar Brunei

Kegagalan Sepanyol menjajah Brunei tidak bermakna musuh Islam itu akan berhenti bertindak. Pulau Luzon dan Visaya telah berjaya di-Kristian secara paksa, tetapi mereka tidak dapat menembusi Sulu dan Maguindanao kerana kekentalan semangat jihad Kerajaan Islam di sana. Sepanyol menduduki wilayah yang dinamakan sebagai Tanah Raja Philip II (The Philippines) ini sehingga berlaku Piagam Madrid 1885M dan Perang Filipina-Amerika Syarikat pada 1899M. Di Borneo yang menjadi wilayah asas Brunei, kedudukan Brunei mulai terjejas teruk apabila beberapa kawasan di Kalimantan mula diduduki oleh Belanda mulai abad ke-17M. Raja Sukadana, Penembahan Giri Kesuma telah mengadakan kerjasama dengan Belanda pada 1604M, yang membolehkan Belanda menjelajahi Banjarmasin pada 1606M, diikuti kerjasama dengan Pengeran Adipati Sambas pada 1609M. Selepas kekalahan Banjarmasin di tangan Belanda pada 1612M, rombongan perdagangan Inggeris mulai memasuki Brunei pada tahun itu juga dengan diketuai oleh Hendry Middleton. Kemasukan berperingkat Belanda di Kalimantan ini berkesudahan dengan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824M yang menyebab Kalimantan dianggap secara rasmi adalah milik Belanda kerana berada di Selatan Selat Singapura.

Bertolak dari penguasaan Belanda ke atas Kota-kota Kalimantan, krisis politik yang berlaku di Sarawak kerana orang Dayak, Cina dan Bidayuh memberontak terhadap pembesar Brunei. Pengeran Muda Hashim telah meminta bantuan James Brooke pada 1839M untuk menyelesaikannya. Setelah krisis ini tamat, James Brooke mulai berkuasa di kawasan Kuching pada 1841M, tetapi setahun kemudian, dia menguasai Kuching hingga Sungai Samarahan dengan bergelar Rajah Putih Sarawak. Pada 1853M, setelah menyelesai pemberontakan di Saribas, Rajah Brooke menguasai pula wilayah hingga Sungai Rajang, sedangkan mulai 1861M, Rajah Brooke sudah menguasai seluruh Lembah Rajang. Manakala kawasan Lembah Terusan jatuh ke tangan Rajah Putih itu mulai 1883M, sebelum Rajah Charles Brooke membeli Lawas dari Sultan Hashim Jalil al-Alam Aqamaddin pada 1905M. Di Borneo Utara, kawasan Pantai Timur Sabah telah diserahkan kepada Sultan Sulu pada 1658M untuk menyelesaikan satu perang saudara di sana. Pada 1846M, di atas permintaan James Brooke, Brunei menyerahkan Labuan kepada British, diikuti oleh pemajakan tanah Borneo Utara (Barat dan Utara Sabah) kepada konsul Amerika Syarikat pada 1865M. Kemudian semua wilayah itu dijual kepada American Trading Company, sebelum ia dijual lagi kepada Baron Gustavus von Overback, konsul Austria-Hungry di Hong Kong pada 1875M. Setelah bekerjasama dengan keluarga Alfred Dent, pada 1881M, keluarga Dent telah menubuhkan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British yang menguasai seluruh kawasan Sabah, termasuk kawasan yang telah diserahkan kepada Sulu sebelumnya.

Brunei terjajah

Setelah terlepas semua wilayah jajahannya, bermula dengan terlepasnya Visaya dan Luzon pada 1571M, kemudian secara berperingkat pengaruh Brunei luntur di Kalimantan dengan kemasukan Belanda, akhirnya mulai 1841M, Brunei terlepas pula Sawarak secara berperingkat sehingga 1905M. Wilayah Brunei di Borneo Utara yang disewakan kepada konsul Amerika telah dijual kepada pelbagai pihak sebelum ia menjadi milik Syarikat British pada 1881M. Pada 1885M pula, Piagam Madrid telah mengesahkan Sulu dan Maguindanao yang pernah dinaungi oleh Brunei menjadi milik Sepanyol. Keadaan ini telah menyebabkan Wilayah Brunei mengecil dan kembali ke wilayah asalnya ketika Awang Alak Betatar menubuhkan Kerajaan Brunei dahulu. Penjualan Daerah Lawas kepada Raja Putih Sarawak pada 1905M adalah batu tanda bahawa pengaruh dan kuasa politik Brunei telah lumpuh sama sekali. Brunei sudah tidak mempunyai kekuatan untuk menyekat pengaruh British terutama setelah Negeri-negeri Melayu di Semenanjung Tanah Melayu hampir semuanya dikuasai British, kecuali Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu yang dikuasai melalui Perjanjian Bangkok pada 1909M.

Menyedari kemerosotan wilayahnya, Sultan Hashim Jalil al-Alam Aqamaddin (1885-1906M) telah mengambil langkah untuk mengadakan perjanjian di antara Brunei, Rajah Brooke Sarawak, Syarikat Berpiagam Borneo Utara dan Queen England bagi menghalang rampasan Wilayah Brunei berlaku secara berterusan. Hasilnya, ketiga-tiga negara (Brunei, Borneo Utara dan Sarawak) telah menjadi wilayah perlindungan British. Ketiga-tiga negara ini tidak dibenarkan melebarkan wilayah antara satu sama lain. Kesan daripada perjanjian ini juga, pada 31 Disember 1905 dan 2 Januari 1906, satu perjanjian tambahan dibuat antara Brunei dan British, di mana Brunei dipaksa menerima Residen British mulai 1906. Malcom Stewart Hannibal McAthur dilantik sebagai Residen British yang pertama di Brunei, sekali gus melumpuhkan kuasa Sultan sebagai ketua negara. Sepanjang penjajahan British sehingga 1959M, seramai 21 orang pegawai British memegang jawatan tersebut. Pada 1959M, British memberi hak kepada Sultan Ali Omar Saifuddin III untuk berkerajaan sendiri, tetapi dilantik seorang Pesuruhjaya British, bermula dengan Dennis Charles White. Pada 1 Januari 1984M, baharulah Brunei diberikan kemerdekaan daripada British.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
10 Zulqaedah 1439 / 23 Julai 2018 – HARAKAHDAILY 27/7/2018