K’jaan PH sensasikan skandal tanpa siasat?

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menangani skandal berkaitan penyelewengan atau salah urus tadbir secara realiti dan berfakta, bukan dengan mainan tuduhan mengaibkan, tegur Awang Hashim (PAS – Pendang) di Parlimen, di sini.
 
Tegasnya, segala tuduhan berkaitan memerlukan ketelusan yang mesti disiasat, didakwa dan dihadapkan ke muka pengadilan, bukan sekadar berlegar di portal, surat khabar dan dibawa ke luar negara, dibiar menyebar ke pemikiran rakyat menimbulkan persepsi.
 
Beliau membangkitkan kemusykilan terhadap isu 1MDB yang terus diputar belit dan dimanipulasikan pihak tertentu ketika membahas Titah DiRaja pada Sidang Dewan Rakyat, kelmarin.
 
Menurutnya, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah melanggan bon terbitan 1MDB sebanyak RM200 juta, manakala Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) RM900 juta yang merupakan wang rakyat.
 
Pinta Awang, semua pinjaman tersebut perlu diperincikan khususnya oleh pihak Kementerian Kewangan kerana ia melibatkan hutang, perbelanjaan dan pembiayaan projek yang dibangunkan oleh 1MDB.
 
“Saya sebut masalah KWSP dan KWAP ini adalah duit simpanan rakyat. Jadi perlu didedahkan, kerana kita nak melihat pinjaman ini untuk apa, projek apa, dan juga penjadualan balik pinjaman-pinjaman ini. Kerana KWSP dan KWAP ini wang rakyat.
 
“Sekarang kita kita tak tahu status 1MDB sama ada dibekukan ataupun boleh digerakkan aktiviti perniagaannya? Kalau ada aktiviti perniagaan, maka penjadualan pembayaran balik wang rakyat yang dipinjamkan.
 
“Tetapi kalau sekiranya tindakan diambil untuk membekukan siapakah yang akan membayar balik hutang-hutang wang rakyat ini? Sekarang semua maklumat ini ada kepada pihak kerajaan. Mana lagi berbillion-billion yang diuar-uarkan sebelum ini sebelum PRU ke 14?
 
“Kalau ada (bukti) silakan. Kita akan sokong kerana ini wang rakyat, salah urus tadbir yang menyebabkan negara kerugian rakyat terpaksa membayar hutang-hutang ini. Kita nak bukti sekarang,” aju beliau.
 
Selain isu 1MDB katanya, Kerajaan PH yang melaungkan keadilan dan reformasi juga perlu menyiasat isu BMF, Perwaja, Memali dan skandal lain diangkat demi keadilan sebenar dapat diterjemahkan. – HARAKAHDAILY 28/7/2018

Advertisement