Gelombang AKIFI N9 capai siri ke-10

KUALA PILAH: Dewan Muslimat PAS Malaysia bersama Dewan Muslimat PAS Negeri Sembilan telah mengadakan Gelombang AKIFI Siri Ke-10 di PASTI Harmoni, Juaseh, di sini kelmarin dahulu.
 
Program dipimpin Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh itu dalam rangka untuk terus memantapkan tarbiyah dalam kalangan anggota Muslimat di negeri ini.
 
Majlis dimulakan dengan iftar diikuti solat berjamaah serta zikir munajat yang dialunkan penuh penghayatan oleh para peserta di mana ia telah diijazahkan oleh mantan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Haron Din.
 
Ustazah Nuridah dalam taujihatnya menasihatkan anggota Muslimat untuk kekal melazimi zikir munajat ke arah memantapkan jiwa dan jasad kerana ia juga pendinding kekuatan dalam melaksanakan gerak kerja.
 
AKIFI yang merupakan singkatan Alim, Haraki dan Sufi itu merupakan inisiatif Muslimat PAS dalam memperteguhkan komitmen perjuangan para anggotanya.
 
Majlis tersebut telah dihadiri ahli Muslimat PAS dari Kawasan Kuala Pilah, Jempol, Tampin, Rembau dan Seremban, selain peserta dari Nusaibah, Briged dan Guru-guru PASTI. -HARAKAHDAILY 29/7/2018
Advertisement