Acuan pendidikan tidak penuhi fitrah manusia

KUALA TERENGGANU: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kehilangan jati diri manusia dan keruntuhan moral disebabkan oleh acuan pendidikan yang tidak memenuhi fitrah manusia.

Advertisement

Katanya, kewajipan menuntut ilmu fardhu ain ke atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan perempuan supaya dipertahankan kemurnian fitrah manusia yang bersih

Beliau menegaskan bahawa diri manusia mesti dibentuk dengan acuan Allah dengan fardhu ain supaya mengenal tanggungjawab terhadap Allah, keluarga, masyarakat dan menjadi manusia yang mengikut perintah Allah.

“Laksana pokok daripada benih lagi dipilih benih yang baik, dicambahkan, disemai, ditanam, dibaja, dikawal jangan dibinasakan musuh-musuh,” katanya ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Perguruan PASTI Malaysia ke-10 di sini, kelmarin.

Anggota Parlimen Marang itu menerangkan bahawa itulah peranan pendidikan dan kewajipan dalam mendidik manusia.

Menurut beliau, sekiranya asas fardhu ain tidak kuat, maka semuanya akan membawa kerosakan walaupun seseorang itu adalah pemimpin.

Katanya, PAS menunaikan tanggungjawab memberikan pendidikan berasaskan fitrah kepada masyarakat di kala sistem pendidikan negara tidak meletakkan asas terhadap pendidikan fardhu ain.

“Sejak PASTI diasaskan beberapa tahun yang lalu, daripada benih ini yang sudah membesar berada dalam macam-macam lapangan dalam masyarakat. Ada yang telah jadi pemimpin, berbagai-bagai lapangan, menandakan kita dapat mendatangkan hasil yang diberkati oleh Allah,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 30/7/2018