Apa nasib Islam di era PH?

SHAH ALAM: Kemenangan PH yang dibentuk oleh majoriti bukan Islam dilihat menjadi halangan para agamawan serta pemimpin Islam di dalam koalisi itu untuk melaksanakan agenda Islam, demikian pandangan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.
 
Menurut beliau, kekangan yang berlaku pula bersama desakan-desakan hingga apabila pemimpin berkenaan membangkitkan sesuatu perkara, kemudiannya berpatah ke belakang (u-turn) disebabkan tekanan oleh pihak tersebut.
 
Fadhli memetik satu pepatah Arab mengenai gagak berjalan di atas bangkai-bangkai anjing di mana memberi pengajaran betapa orang yang berpandukan perkara tidak betul akan terus berhadapan atau melalui banyak keburukan.
 
“Percayalah dalam masa lima tahun ini desakan-desakan akan semakin besar, semakin rapat dan akan ada polisi-polisi yang mereka umumkan di atas semangat mereka sebagai non-Muslim,” ujarnya pada Wacana Sinar Harian Ke-66 membicarakan tajuk “Islam Di Era PH” di Dewan Karangkraf, Seksyen 15, di sini kelmarin dahulu.
 
DAP halang, beri tekanan
 
Katanya, wujud eskapisme sebagaimana jawapan oleh Timbalan Menteri yang ditanya mengenai status RUU355, tetapi dijawab bahawa ianya di bawah urusan Speaker, walhal dilihat takut berhadapan dengan kemarahan DAP.
 
Beliau turut menyatakan bahawa sikap DAP pada ketika ini tidak memungkinkan Mahkamah Syariah diperkasakan, apatah lagi sikap agamawan dan pemimpin Islam di dalam PH yang kelihatan cenderung kepada orang bukan Islam.
 
Kecenderungan tersebut ulasnya, hinggakan agamawan dan pemimpin Islam berkenaan juga cenderung mengabaikan masalah LGBT yang sekadar dianggap sebagai dosa peribadi sedangkan golongan itu secara terbuka telah mempromosikan gaya hidup mereka.
 
“Kenapa kita perlu memberikan kenyataan seolah-olah ‘favour’ pada golongan mereka. Adakah mereka ditindas atau sedang dianaktirikan? Walaupun mungkin ada, tetapi lebih penting daripada itu, mereka sedang mempromosikan gaya hidup mereka dan ini perlu untuk diambil tindakan.
 
“Sebab itulah kita sangat-sangat tidak setuju dengan kenyataan Menteri. Bila menyebut ‘Hifz ad-Din’ ini menjaga semua agama. Walaupun itu ada pandangan daripada ulamak yang kontemporari ada, bukan tidak ada. Tetapi apa perlunya anda mempromosikan istilah ‘Hifz ad-Din’ dalam keadaan bukan Islam tidak tertindas semua dalam negara kita?
 
“Masalahnya ialah satu persatu ikatan-ikatan Islam itu seolah-olah sedang dirungkaikan, sedang dipromosikan untuk dirungkai. Tiba-tiba kita buat kenyataan ‘favour’ kepada golongan yang nak lawan Islam,” ujarnya melihat semua itu cabaran Islam di era PH.
 
Pun begitu, Fadhli tetap berharap para agamawan di dalam PH memainkan peranan menggunakan mandat lima tahun ini untuk melakukan perkara terbaik untuk kepentingan Islam dan PAS tetap tegas dengan pendiriannya membawa Islam secara syumul.
 
Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia menegaskan bahawa, PAS tidak ada masalah berkerjasama dengan mana-mana pihak atas dasar kepentingan Islam, rakyat dan negara, bahkan sentiasa bersedia untuk itu. – HARAKAHDAILY 30/7/2018

Advertisement