Sg Kandis: Siapa patut kalah?

SAYA menerima soalan yang agak banyak dari beberapa pihak. Ada dari ahli PAS sendiri. Ada dari ahli Umno dan atas pagar. Tak kurang juga dari penyokong Pakatan Harapan (PH) yang mungkin nak siasat apa pendirian PAS mengenai PRK Sungai Kandis.

Advertisement

Saya tak mahu jawab bagi pihak PAS. Sebab saya hanya AJK kecil dalam PAS Pusat. Namun saya nak jawab bagi pihak diri saya sendiri. Jika serasi dengan pandangan anda maka kita telah ada persamaan. Kalau tak serasi maka kita saling menghormati perbezaan itu.

Dalam soal PRK Sungai Kandis. Siapa yang patut kita berikan undi? Sebelum saya jawab soalan itu perlu kita ingat bahawa dalam PRK Sungai Kandis yang masuk bertanding hanya dua penjuru sahaja, iaitu PH dan BN atau Umno. Kedua-duanya parti Sekular yang sudah pasti menjadi bebanan kepada Islam. Umno telah melakar sejarahnya yang panjang dan kita tahu sikap parti itu terhadap Islam. PH juga telah menanggalkan topengnya dan mempamerkan wajah sebenarnya terhadap Islam. Oleh itu bagi saya undi kita kali ini bukan soal siapa yang kita patut berikan kemenangan. Tetapi sebenarnya siapa yang patut kita kalahkan.

Kalau pun kita berikan undi kepada PH itu bukan kerana kita mahu PH menang. Tetapi kerana kita mahu BN kalah. Begitulah sebaliknya. Jika kita berikan undi kepada BN, bukan kita mahu BN menang tetapi kerana kita mahu PH kalah. Siapa pun yang menang mereka tetap bukan parti yang mahu daulatkan Islam. Namun perlu dilihat antara kedua-dua parti yang mendatangkan mudharat kepada Islam itu, manakah yang lebih ringan kemudharatannya? Ini adalah kaedah fiqh yang telah disepakati oleh ulamak-ulamak fiqh.

Asalnya setiap kemudharatan itu tidak kira ringan ataupun berat hendaklah dihapuskan. Atas dasar inilah maka ulamak fiqh mendatang kaedah:

الضرر يزال

“Kemudharatan itu hendaklah dihapuskan.”

Kerana Rasulullah S.A.W bersabda:

لا ضرار ولا ضرار

“(Iaitu) Tidak ada kemudharatan dan tidak memudharatkan.”

Namun apabila terdapat dua kemudharatan secara serentak dalam satu masa maka ulamak-ulamak fiqh menyelesaikannya dengan kaedah:

الضرر الأشد يزال بالضرار الأخف

“Kemudharatan yang lebih berat hendaklah dihilangkan dengan kemudharatan yang lebih ringan.”

Atau kaedah:

الأخف الضرورين

“(Iaitu) Memilih yang lebih ringan kemudharatannya antara dua kemudharatan.”

Jika dilihat antara BN dan PH, pada pengamatan saya PH lebih mendatangkan kemudharatan kepada Islam berbanding BN. Berdasarkan statement-statement pimpinan PH kita dapat saksikan sikap mereka terhadap Islam. Lebih-lebih lagi dalam keadaan parti-parti Melayu Islam dalam PH boleh dikatakan tunduk kepada kehendak DAP, parti yang tidak tersembunyi lagi kebenciannya terhadap Islam.

Mungkin ada yang bertanya. Apabila kita kalahkan PH dan BN menang, apakah Islam dapat dilaksanakan sepenuhnya melalui kemenangan BN itu? Sebab itu awal-awal tadi saya sudah sebut. Undi kita kali ini bukan soal siapa menang tetapi soalnya siapa yang patut dikalahkan. Memikirkan keburukan yang bakal muncul jika PH menang hendaklah diutamakan daripada memikirkan apakah kebaikannya jika BN menang. Ulamak fiqh mengatakan:

 درء المفاسد مقدم جلب المصالح

“Menolak kemudharatan (kerosakan) hendaklah didahulukan daripada mengambil kemaslahatan.”

Kita mengundi BN bukan kerana kita mengiktiraf ideologi Umno itu benar tetapi kerana kita mahu PH itu kalah. Kerana kemudharatan yang didatangkan oleh PH jauh lebih merosakkan berbanding BN. Saya fikir tidak sukar untuk Melayu Muslim yang pernah mengundi PH untuk mengundi BN pada kali ini. Bukankah dalam PRU14 yang lepas anda gagahkan tangan mengundi PH walaupun di sebalik lambang PKR itu ialah DAP dengan alasan menolak Najib dan BN lebih diutamakan. Kini sampai pula masanya menolak PH adalah lebih awla dan utama.

Kekalahan PH di PRK Sungai Kandis tidak banyak memberi kesan kepada Kerajaan Pusat PH. Namun perlu disedari bahawa kekalahan PH di Sungai Kandis bakal menghantar message kepada PH Pusat bahawa walaupun mereka sudah menang dan menguasai Pusat namun mereka tidak patut menjadi “Gajah yang turun minyak”. Hormati rakyat, hormatilah Islam dan Bangsa Pribumi Melayu.

Kesimpulannya saya mahu memberitahu kepada pengundi di Sungai Kandis undilah BN untuk mengalahkan PH.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja  
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 30/7/2018