Syariah adalah KPI laksana agenda PAS

SHAH ALAM: Syariah merupakan Petunjuk Prestasi (KPI) kepada setiap perkara yang akan dilaksanakan oleh PAS sekiranya diberi peluang mentadbir Malaysia, demikian tegas Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.
 
Nyata beliau, Kelantan antara rekod hidup atau model yang menampilkan modul PAS dalam mentadbir secara ‘good governance’ di mana kerangka dan roh Islam diusaha untuk dilaksana semaksimum mungkin dalam gelanggang demokrasi.
 
Beliau mengemukakan contoh antaranya keterbukaan melaksanakan hiburan dan sukan yang tidak dihalang, namun diadakan dengan meletakkan garis panduan selaras enakmen berkaitan yang digubal bagi negeri itu.
 
“(Antaranya) Nak buat pertandingan bina badan. Saya kata tak ada masalah, boleh. Tapi kena patuh kepada syarat-syarat yang diletakkan. Apa dia? Di antara kalau kita tahu ‘body builder’ ini ia buka semua tubuhnya kecuali ‘di situ’ sahaja. Jadi, kami letakkan syarat.
 
“Walaupun perkara ini khilaf di kalangan para ulamak, tetapi paling tidak dalam suasana masyarakat pada hari ini, mereka tidak selesa dengan perkara tersebut. Maka oleh yang demikian, dengan mengambil kira pelbagai pandangan fuqaha, saya mengatakan boleh nak buat.
 
“Tetapi tutup di antara pusat ke lutut. Paling tidak lutut, pusat kena tutup supaya keluar daripada sebarang khilaf yang utama,” ujarnya pada Wacana Sinar Harian Ke-66 membicarakan tajuk “Islam Di Era PH” di Dewan Karangkraf, Seksyen 15, di sini kelmarin dahulu.
 
Tambah beliau, pertandingan bina badan di negeri itu dikenali dengan panggilan Mr Awang Selamat di mana biarpun menutup aurat dan memakai tanjak di kepala, namun berjaya menjadi tarikan termasuk dari luar Kelantan.
 
Begitu juga terangnya, sukan gusti Muay Thai dilaksana dengan mengambil kaedah darurat paling ringan (akhafud dharurain) pada maslahah syarak, dengan diadakan tanpa unsur perjudian, tarian simbolik tertentu, wanita dan seumpamanya yang menjadi kebiasaan sukan itu.
 
Keterbukaan juga jelasnya diberi kepada hiburan oleh masyarakat bukan Islam untuk melaksanakan aktiviti di tempat mereka secara tertutup tetapi bebas tanpa sekatan selagi ianya tidak membabitkan orang Islam.
 
“Mak Yong dan wayang kulit telah diharamkan di Kelantan, betul. Tetapi wayang kulit telah pun dibenarkan (semula) dengan syarat pertunjukannya itu tidak mengandungi unsur-unsur yang menyalahi akidah. Dulu kalau ada wayang kulit, tak dapat tidak kena ada watak dewa-dewanya.
 
“Sekarang ini alangkah kita kata ketinggalannya kalau tidak benarkan wayang kulit sedangkan orang boleh tengok dalam youtube, internet dan sebagainya. Jadi kita benarkan wayang kulit atas dasar ia nafas budaya, tetapi hendaklah tidak bercanggah dengan akidah dari sudut ‘contents’ dan ‘substance’-nya.
 
“Begitu juga dengan Mak Yong. Mak Yong dulu kita pernah haramkan. Sekarang kita benarkan penggiat-penggiat budaya untuk membuat persembahan Mak Yong, tetapi datangkan dengan kertas kerjanya terlebih dahulu. Kita tengok dan kita nilai insyaAllah.
 
“Di Johor, kita yakin kalau PAS diberikan peluang untuk mentadbir Johor, kuda kepang ini kita boleh benarkan. Tetapi syaratnya hendaklah mengandungi ‘substance’ yang tidak menyalahi akidah. Dan di sana kita boleh bincang. PAS sentiasa terbuka dengan perbincangan tidak ada masalah,” jelasnya.
 
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menyatakan, segala pelaksanaan oleh PAS itu adalah hakikat kepada model kehidupan sebenar atas pendirian bahawa sebagai Parti Islam PAS bertanggungjawab membawa Islam syumul. – HARAKAHDAILY 30/7/2018

Advertisement