Pak Dir pernah berlakon filem P Ramlee

KOTA BHARU: Tiada siapapun menduga sebelum ini Abdul Kadir Mamat atau Pak Dir, pelakon tambahan filem-filem era seniman agung Tan Sri P. Ramlee adalah anak kelahiran Kelantan.

Advertisement

Ekoran kisah pendedahan hidupnya yang menjadi viral ketika uzur baru-baru ini, telah mendapat perhatian artis terkenal Dato’ D.J Dave atau Irwan Shah Abdullah dan Dato’ Jamaludin Elias atau Nash.

Dave selaku Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) dan Nash salah seorang pemegang amanah yayasan itu telah menziarahi satu-satunya anak Kelantan yang turut berlakon sebagai watak tambahan menerusi filem popular Ali Baba Bujang Lapok, di rumahnya di Kampung Kedai Lalat, hari ini. Hadir sama Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rozaidi Abd Jamil atau Zed Zaidi.

Menurutnya, pihaknya mengambil keputusan untuk menziarahi Pak Dir setelah penderitaan hidupnya ditularkan di media sosial hasil pendedahan sebuah akhbar.

“Alhamdulillah, kita bersyukur kerana berpeluang menziarahi Pak Dir,” ujarnya.

Pak Dir, 78, ketika ditemui begitu bersemangat walaupun masih keuzuran. Tidak cukup dengan itu beliau memakai pakaian bertemakan jalur gemilang. – HARAKAHDAILY 31/7/2018