PAS Kemaman simpati mangsa kebakaran

KEMAMAN: Nasib enam sekeluarga yang hampir menjadi korban dalam kebakaran mendapat perhatian pimpinan PAS Kawasan Kemaman.
 
Semua mereka tinggal sehelai sepinggang setelah rumah mereka musnah lebih 85 peratus di Kampung Cabang, Kertih, di sini sekitar jam 7 pagi kelmarin.
 
Difahamkan, kebakaran yang bermula dari satu bunyi letupan tidak diketahui itu menyebabkan api marak dengan begitu cepat.
 
Tiga jentera bomba berkekuatan 13 anggota tiba jam 7:10 pagi telah mengambil masa 15 minit mengawal api daripada merebak.
 
Menurut ketua rumah, Mohamad Boto, 50, perkara itu mengejutkannya yang sedang menonton televisyen selepas solat Subuh.
 
Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Tan Boto bergegas menyelamatkan anak dan cucu yang masih tidur serta berlari keluar.
 
Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Che Alias Hamid dan Adun Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili yang bergegas ke lokasi kejadian telah mendapat penerangan daripada pihak bomba.
 
Timbalan Penguasa Bomba, Khairul Hasni Mokhtar telah menyampaikan taklimat mengenai kejadian kepada mereka. -HARAKAHDAILY 31/7/2018
 
 
Advertisement