Pelantikan Pengerusi Khazanah tidak relevan

nasrudin2

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mempertikai pelantikan YAB Perdana Menteri sebagai Pengerusi Khazanah Nasional sepertimana yang diumumkan semalam.

Advertisement

Pakatan Harapan harus melihat semula Janji 22 (Menjadikan pentadbiran semua syarikat milik kerajaan setaraf dengan piawaian antarabangsa) yang menyatakan dengan jelas bahawa pelantikan ahli lembaga pengarah dalam GLC nasional dan negeri adalah dari kalangan profesional dan bukan berdasarkan kaitan politik.

Pakatan Harapan (PH) juga harus sedar bahawa mereka juga yang menentang pemusatan dan pembolotan kuasa Perdana Menteri sehingga boleh memanipulasi institusi penting negara.

Disebabkan itu, PH mencadangkan jawatan PM dihadkan kepada dua penggal sahaja dan tidak membenarkan PM memegang jawatan lain terutamanya jawatan Menteri Kewangan. Sepertimana yang kita maklum, Khazanah Nasional Berhad adalah syarikat di bawah pemilikan Menteri Kewangan Diperbadankan.

Pelantikan PM sebagai Pengerusi Khazanah Nasional dilihat telah mengkhianati prinsip urus tadbir yang digagaskan oleh PH sendiri dan terbukti mereka tidak berbeza dengan Barisan Nasional (BN).

Kerajaan Persekutuan disaran untuk merujuk semula amalan praktis urus tadbir yang lebih telus sepertimana yang telah digariskan oleh Organisation for Economic Co-operation Development (OECD).

Rakyat tentunya tidak mahu wujud percanggahan kepentingan dan salah guna kuasa antara PM dan Khazanah Nasional.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
19 Zulkaedah 1439 | 1 Ogos 2018 – HARAKAHDAILY 1/8/2018