Warga asing dan ancam keselamatan sempadan

KUALA LUMPUR: Kerajaan dilihat tidak mempunyai mekanisma kawalan khusus dalam menangani kemasukan pekerja asing ke negara ini yang bukan sahaja mengambil alih peluang pekerjaan rakyat tempatan, malah menimbulkan isu keselamatan, demikian menurut Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli (PAS – Dungun).

Advertisement

Beliau yang membahas ucapan Titah DiRaja pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini kelmarin berkata, lambakan pekerja asing sama ada hadir dengan izin atau tanpa izin yakni terdapat 6.7 juta berdaftar, sementara dianggarkan lebih 1.2 juta tidak berdaftar telah mengundang malapetaka kepada rakyat.

“Mereka telah mengisi sebanyak 17 peratus daripada jumlah buruh di negara kita. Peratus ini yang berdaftar. Yang tidak berdaftar, berkemungkinan kalau dicampur mencapai angka 30 peratus atau lebih. Dan berapa banyak peluang pekerjaan sepatutnya Warganegara Malaysia dapat, tetapi telah tidak dapat diisi kerana kemasukan lambakan pekerja asing?” ujarnya.

Beliau memetik laporan Kosmo bertarikh 31 Mac yang memaparkan mudahnya pendatang asing masuk dengan izin sebagai pelancong, kemudian terus menetap di negara ini tanpa izin, selain sistem pengawalan sempadan di tahap yang tidak memuaskan.

Wan Hassan yakin dan percaya sebenarnya jabatan dan agensi yang ditugaskan telah berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan tanggungjawabkan mereka, namun pengawalan sempadan mesti diperketatkan dan dikemaskinikan sistemnya.

“Kerana kemasukan pendatang asing tanpa izin ke negara kita ini walaupun sebabnya adalah permintaan yang tinggi oleh para pengusaha kilang dan juga kontraktor perkhidmatan dan binaan, kerana kos buruh lebih murah, apabila dibandingkan dengan buruh tempatan.

“Pun begitu kita mesti melihat kepada perkara pelaksanaan pengawalan supaya ianya benar-benar berkesan di bawah Akta Imigresen berkaitan dengan hukuman pengambilan pekerja asing untuk dilihat benar-benar berkesan dalam menghalang pengambilan yang tidak diperlukan di Malaysia ini,” seru beliau. – HARAKAHDAILY 1/8/2018