Bebaskan agamawan dari kepentingan luar

SAYA tertarik dengan pembentangan yang disampaikan oleh Dr Ali Qurrah Daghi, Setiausaha Agung Kesatuan Ulamak Islam Sedunia dalam program Seminar Mimbar Aqsa di Istanbul hujung minggu lepas.

Advertisement

Beliau menggariskan tiga langkah penting bagi membina kebangkitan umat Islam ke arah pembebasan al-Aqsa:

1.     Penyatuan ummah: Beliau mengambil contoh bagaimana Salahuddin al-Ayyubi menyatukan umat Islam dari Timur ke Barat sebelum membebaskan Masjidil Aqsa daripada tentera salib. Beliau menyatukan Bani Saljuk, Bani Ayyubiah, Bani Abbasiyah hingga ke Bani Fatimiyah walaupun kesemua ini berbeza bangsa dan juga aliran.

2.     Pendidikan Islam: Beliau mengambil contoh madrasah Nizamiah yang diasaskan oleh Dinasti Saljuk pada era Abbasiyah oleh Menteri bernama Nizamul Mulk. Antara guru ulung madrasah ini adalah Imam As-Syirazi, Imam al-Ghazali dan Imamul Haramain al-Juwaini. Madrasah ini telah mengeluarkan ramai alim mujahid seperti Ibnu Asakir dan Sultanul Ulamak Izzuddin bin Abdul Salam.

3.     Skim Waqaf untuk ulamak: Cadangan ini ditimbulkan supaya ulamak lebih independent daripada mana-mana pengaruh dalam mengeluarkan pandangan atau melakukan sebarang tindakan.

Saya tertarik untuk lebih mengulas mengenai poin ketiga beliau. Dari apa yang disampaikan, menunjukkan isu ini sangat kritikal untuk diuruskan. Beliau menyebutkan beberapa contoh ulamak yang lantang dan terkenal di zaman mereka hingga ke hari ini dalam menegakkan kebenaran. Mereka seperti Imam Abu Hanifah, Imam Syafie, Imam Hanbali, Imam Nawawi dan sebagainya. Kesemua mereka tidak dibiayai oleh mana-mana pihak berkepentingan. Sebahagian mereka memiliki perniagaan sendiri dan boleh berdiri di atas kaki sendiri tanpa terikat dengan mana-mana pihak.

Malang sekali hari ini, ramai alim ulamak (tidak semua) hidup dengan mengharapkan gaji dan biaya dari pihak-pihak tertentu sama ada mereka berjawatan, memiliki entiti, ataupun pendakwah bebas. Perkara ini menyebabkan terdapat ‘sekatan-sekatan’ di pihak alim ulamak dalam mengeluarkan kenyataan bebas, bimbang periuk nasi mereka terancam.

Perkara ini pernah disuarakan oleh Tuan Guru Ayah Chik kepada anggota Kesatuan Ulamak Islam Sedunia beberapa tahun lepas. Beliau mengkritik pandangan beberapa anggota yang meminta supaya pandangan KUIS tidak bercanggah dengan polisi Negara Qatar yang menjadi tempat naungan badan antarabangsa itu. Mungkin Dr Ali yang juga anggota KUIS sudah memahami hakikat ini. Pendirian beliau yang lain juga tampak selari dengan apa yang ditegaskan oleh Ayah Chik selama ini terutama dalam isu penyatuan ummah merentas bangsa dan mazhab. Satu perkara yang agak sukar diterima Bangsa Arab.

Walaupun idea penubuhan waqaf khas untuk ulamak boleh diperbahaskan lagi dari sudut kebebasan yang bakal dinikmati dan juga struktur pentadbirannya, tetapi idea bagi memerdekakan institusi ulamak sangat perlu difikirkan. Sejarah telah melihat berapa ramai alim ulamak dan juga pejuang Islam telah dibeli oleh musuh-musuh Islam atas kelemahan ini. Mereka bijak mengatur langkah mengikat umat Islam bergantung harap kepada mereka sehingga akhirnya menjadi duri dalam daging kepada gerakan Islam, menjadi ejen kepada musuh.

Semoga idea ini berjaya dibawa ke pelbagai peringkat.

20 Zulkaedah 1439
2 Ogos 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 2/8/2018