Lontarkan ‘suara’ anak muda di PRK N.49

PRK N.49 Sungai Kandis perlu dilihat sebagai penanda penting kepada wajah politik Malaysia dan Selangor pasca PRU14 yang boleh menjadi penilaian arus sokongan semasa. Apatah lagi ia PRK pertama setelah landskap politik negara berubah dengan tumbangnya BN yang menerajui Persekutuan sekian lama sekali gus berakhir sejarah lama dan melakar sejarah baharu.

Advertisement

Namun, PAS telah membuat keputusan untuk tidak menyertai PRK Sungai Kandis atas alasan-alasan sebagaimana kenyataan rasmi Setiausaha Agung PAS, YB Dato’ Takiyuddin Hassan sebelum ini. Antaranya ialah kepentingan untuk mengukuhkan suara pembangkang dalam Kerajaan Selangor sebagai timbang tara bagi memastikan suara rakyat diketengahkan.

Pun begitu kami percaya, gelombang kesedaran masih kekal aktif kerana rakyat mengharap perubahan ke arah kehidupan dan negara yang lebih baik. Para pengundi, khususnya anak muda tentunya bakal menjadi penentu penting mencipta keputusan PRK Sungai Kandis sebagai manifestasi terkini terhadap perkembangan situasi politik nasional.

Kami menyeru agar pengundi dalam kalangan anak muda kekal bersikap matang dan kritis dalam mengemuka interpretasi terhadap pelbagai gelojak pasca PRU14. PRK Sungai Kandis perlu menjadi platform penting buat anak muda memberi suara dengan menyatakan protes undi ke atas janji-janji manifesto yang dimungkiri oleh Kerajaan PH.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 2/8/2018