Tarik balik tentera tindakan tergesa-gesa

KELMARIN saya mencelah ucapan YB Menteri Pertahanan, Tuan Haji Muhammad bin Sabu ketika beliau menjelaskan berhubung penarikan balik tentera Malaysia di Arab Saudi.

Advertisement

Saya menyatakan bahawa tentera Malaysia hakikatnya tidak pernah dilibatkan dengan operasi ketenteraan di Yaman, bahkan keberadaan tentera Malaysia di sana sejak tahun 2015 lebih kepada membantu kerja-kerja kemanusiaan di samping menjadi simbol perpaduan dan hubungan di antara Malaysia dan Arab Saudi. Negara-negara yang terlibat langsung dalam serangan ke atas Yaman hanyalah Arab Saudi, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sudan, Morocco dan Senegal.

Pada saya, penarikan balik tentera Malaysia di Saudi adalah satu tindakan terburu-buru. Hujah Menteri Pertahanan bahawa Malaysia mahu kekal berkecuali justeru mewajarkan tindakan menarik balik tentera itu adalah satu hujah yang tidak betul. Penarikan balik tentera itulah memperlihatkan Malaysia berpihak kepada negara-negara yang menyokong pemberontak Yaman. Mengumpamakan tentera Malaysia sebagai turut membantu serangan secara tidak langsung ialah perumpamaan yang tidak tepat.

Selepas saya bangun mencelah, YB Permatang Pauh pula bangun mencadangkan supaya kerajaan mengutuk serangan Arab Saudi ke atas Yaman, ini lebih jauh lagi merupakan satu tindakan campur tangan ke atas satu konflik yang tidak dipastikan dengan jelas kedudukannya yang sebenar.

Walau apa jua pun yang berlaku, tindakan menempatkan tentera Malaysia di Arab Saudi sebenarnya sudah cukup baik dan tidak perlu kepada tindakan menarik balik seperti yang dilakukan oleh kerajaan.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas
1 Ogos 2018 – HARAKAHDAILY 2/8/2018