Tunai manifesto: Terengganu wajar dicontohi

takiri1

SAYA merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas pelaksanaan pelbagai manifesto yang telah dijanjikan semasa PRU14 lalu demi kesejahteraan rakyat negeri ini.

Advertisement

Terbaru, Kerajaan Terengganu telah memberikan pengecualian dan menghapuskan tunggakan cukai taksiran bagi kediaman di pihak PBT Negeri Terengganu.

Sekalipun perlu membiayai sejumlah nilai mengikut kadar kehilangan hasil kepada pihak PBT dalam bentuk geran tahunan dan bagi tahun 2018 ini sahaja nilai ini berjumlah RM14.6 juta, ia tetap perlu dilaksanakan juga bagi memastikan tanggungan beban kewangan rakyat negeri ini dapat dikurangkan.

Tunggakan cukai taksiran pegangan atas kediaman di pihak PBT Negeri Terengganu dari 2015 hingga 2017 juga turut dihapuskan bagi merealisasikan agenda berkebajikan untuk rakyat negeri ini.

Kehendak politik (political will) yang lebih tinggi yang ditunjukkan oleh Kerajaan Terengganu ini berbanding menjadikan masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu sebagai faktor penghalang adalah sangat wajar dicontohi terutamanya dalam menunaikan manifesto yang telah dijanjikan.

“Sejahtera Bersama Islam”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
2 Ogos 2018 | 20 Zulkaedah 1439 – HARAKAHDAILY 2/8/2018