Kerajaan atas kerajaan di Kelantan

KERAJAAN BN/Umno sudah dibuang dan Kerajaan Pusat sudah tidak ada kerajaan atas kerajaan lagi di Kelantan. Sekalipun Umno tidak memerintah Kelantan, tetapi ia ada anggota parlimen dan Adun di Kelantan.

Advertisement

Maka dengan benih-benih Umno itulah BN membentuk Kerajaan Pusat atas Kerajaan Kelantan bagi mengurus urusan Kerajaan Pusat di Kelantan. Apa jua peruntukan dan jabatan persekutuan di Kelantan dikecualikan dari Kerajaan Kelantan sedang di negeri-negeri yang diperintah BN tidak semestinya ditangani secara menangani Kelantan.

Kuasa itu dikira sebagai wujudnya kerajaan atas kerajaan.

Sekarang kerajaan Harapan tidak ada apa-apa di Kelantan. Adun tak ada, MP pun tidak ada. Adakah Kelantan itu dibiarkan saja kepada kebijaksanaan Kerajaan Kelantan atau Kerajaan Pusat wujudkan pula adakan juga satu sistem menyambung sistem Umno dulu dengan menyerahkan bantuan dan peruntukan ke Kelantan kepada urusan parti Harapan Kelantan?

Antara yang Harapan Kelantan bernafsu besar moga-moga ia diperkenan PM Dr. Mahathir ialah pemberian 5 peratus royalti petrol/gas kepada negeri itu yang persetujuan pada dasarnya terkandung dalam manifesto Harapan.

Selamanya Umno dan Mahathir tiada sebarang takwil atas hak royalti kepada Terengganu dulu hinggalah Terengganu ditadbir PAS tahun 2000. Atas nafsu dan hasutan Umno Terengganu, Mahathir setuju merampasnya dari Kerajaan Terengganu.

Ada tanda-tanda Harapan Kelantan menghasut Perdana Menterinya, orang yang sama merampas royalti Terengganu itu dulu menyekat hak itu diserahkan kepada Kerajaan Kelantan. Jika Mahathir itu Mahathir dulu juga kalis reformasi dan kalis transformasi, maka sistem Umno yang sudah dibuang oleh rakyat itu akan diteruskan dan diserahkan kepada pemimpin Harapan Kelantan.

PAS menolak jemputan Mahathir untuk menumbang Najib pra PRU14 dulu, kerana PAS bukan sekadar untuk membuang orang tetapi membuang sistem. Orang dan parti yang beramal negatif itu sudah dibuang, sistemnya mahu diteruskan.

Bagai yang dipercayai, yang bertukar orang dan parti, sistem pakai yang lama juga. Sistem itulah yang menjerumuskan kerajaan rasuah, kebocoran dan selewengan.

Jika urusan Kelantan diserahkan kepada Harapan, itulah kemahuan Mahathir supaya royalti 5 peratus yang war-warkan bukan atas pengeluaran tetapi atas keuntungan. Yang PAS, rakyat dan Kelantan mahu ialah atas pengeluaran.

Apakah hak yang Sabah, Sarawak dan Terengganu peroleh dulu atas pengeluaran atau atas keuntungan?

Jika sistem yang tidak bertunjang kepada hak dan keadilan itu dipakai lagi untuk Kelantan, maka Harapan bukan sekdar ditolak di Kelantan, bahkan ia ditolak di Terengganu, Pahang dan Perlis. Apakah Harapan Terengganu, Pahang dan Perlis akan diberi hak mentadbir mengendalikan urusan kerajaan federal di negeri-negeri itu?

Harapan tidak diberi mandat di Kelanan. Atas kapasiti apa mereka diberi hak? Tentunya ia atas jawatan politik. Kerajaan baru membuang berbelas ribu penjawat politik di Jabatan Pedana Menteri, maka sekarang mahu memberi jawatan politik pula kepada orang Harapan?

Jika Mahathir setuju, mungkin faktor usia dia tidak seimbang dalam semua perkara. Dan jika Harapan Kelantan pula setuju, itu nama tidak pemalu.

Demi memastikan kerajaan baru berada dalam sistem yang betul, Mahathir melantik beberapa orang penasihat diketuai oleh Tun Daim Zainuddin bagi menyediakan urusan pokok, maka Tun Daim wajar beri nasihat yang tepat kepada rakan sepanjang hidupnya itu.

Biar Harapan Kelantan belajar pahit maung perjuangan dulu supaya belajar payahnya perjuangan. – HARAKAHDAILY 4/8/2018