Umat perlu komited perjuang bebas Palestin

KUALA LUMPUR: Perjuangan membebaskan Palestin adalah komitmen tinggi umat Islam untuk mengangkat kembali keadilan, bukan kepada wajah peperangan dan konflik, demikian tegas Pengarah Institut Kecemerlangan Pengajian Baitulmaqdis, Ustaz Dr Aminurraasyid Yatiban.

Advertisement

Menurut pensyarah Universiti Utara Malaysia itu, ini kerana wilayah tersebut menjadi simbol keamanan, kesatuan dan meraikan kepelbagaian di mana ianya mempunyai signifikan sangat besar kepada umat Islam.

Jelas beliau, kedekatan Baitulmaqdis dengan umat Islam selaras ianya sebagai terminologi yang disebut Rasulullah S.A.W dan diperkuatkan lagi dengan berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj, bahkan pernah dilalui para Nabi dan Rasul sebelumnya.

“Baitul Maqdis disebut sebagai bumi yang penuh keberkatan, mubarakah, bumi yang selamat bagi seluruh alam. Komitmen Baginda selepas membuka Kota Makkah, kalau kita tengok kebanyakan peperangan dan juga peristiwa-peristiwa penting yang berlaku selepas daripada itu adalah menuju ke sebelah Utara.

“Maka selepas membebaskan Baitullahil Haram Kaabah, pada waktu itu dengan pembukaan Kota Makkah, komitmen Baginda adalah untuk membebaskan Baitul Maqdis, al-Masjidil Aqsa. Walaupun Baginda S.A.W wafat sebelum sempurnanya hasrat untuk membebaskan al-Masjidil Aqsa, komitmen ini diteruskan oleh Saidina Abu Bakar dan diletakkan sebagai keutamaan.

“Dengan contohnya menghantar kembali ekspedisi Usamah bin Zaid yang dimulakan oleh Nabi Muhammad S.A.W ke sebelah Utara ke arah pembebasan Baitulmaqdis dan diikuti dengan penyempurnaannya pada zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khattab.

“Sehingga membawa kepada pembukaan Kota Baitulmaqdis pada waktu itu al-Masjidil Aqsa tanpa menumpahkan darah (tetapi) dengan aman. Sekali gus perjuangan pembebasan Baitulmaqdis bukan untuk membalas dendam atau menindas mana-mana pihak,” terangnya pada Sembang Online “Palestin Semakin Dilupakan” anjuran Utusan Online baru-baru ini.

Beliau turut menegur keghairahan umat Islam untuk melancong ke sana ketika ianya sudah ‘dicengkam penjajah’ menerusi pengisytiharan sebagai sebahagian daripada Israel, sedangkan tanggungjawab lebih besar adalah membebaskannya.

Malah, para Sahabat R.A kata Dr Aminurraasyid, hanya berbondong-bondong pindah dari Yaman, Hijaz dan seumpamanya menuju Masjidil Aqsa setelah pembukaannya berjaya dilakukan di zaman Khalifah Umar al-Khattab.

Bahkan hujahnya,  Nabi S.A.W sendiri tidak sujud di Masjidil Aqsa selain daripada peristiwa Israk dan Mikraj yang telah menjadi bukti nyata betapa komitmen umat Islam untuk membebaskannya mesti selari dengan tindakan lainnya.

“Perlu untuk dikoordinasi antara semua kekuatan-kekuatan yang mudahan kita mengambil iktibar terbaik daripada peristiwa pembebasan pertama Baitulmaqdis oleh Saidina Umar. Ketika mana pembebasan kali kedua oleh Salahuddin al-Ayyubi pra-syarat utama adalah umat Islam perlu untuk bersama dalam satu saf.

“Perlu untuk disatukan  kefahamannya, tindakannya. Ini adalah kepentingan dan tanggungjawab yang rentas kepartian dan rentas bangsa sekalipun. Sepatutnya kita fikirkan bersama pembebasan Baitulmaqdis adalah agenda ummah, agenda global,” seru beliau. – HARAKAHDAILY 3/8/2018