Pusat digesa bayar royalti ikut jadual

SAYA menggesa pihak Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan pembayaran royalti 5 peratus berdasarkan pengeluaran mengikut jadual bermula Ogos ini.

Advertisement

Ini bagi menepati perjanjian asal yang termaktub di antara Kerajaan-kerajaan Negeri Pengeluar dengan Kerajaan Persekutuan itu sendiri yang merujuk kepada Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroleum 1974.

Walaupun Menteri Hal Ehwal Ekonomi, YB Azmin tidak secara langsung menjawab persoalan saya mengenai pembayaran royalti pada Ogos depan, alasan beliau untuk mendahulukan rundingan 20 peratus berdasarkan keuntungan tidak mempunyai kaitan dengan perjanjian asal tersebut.

Perbahasan tentang cadangan baru iaitu pemberian 20 peratus royalti berasaskan keuntungan masih panjang dan melibatkan proses perbincangan yang kompleks. Ia melibatkan pelbagai golongan berkepentingan, malah dalam kedudukan semasa, cadangan tersebut kelihatan mustahil untuk diteruskan.

Maka, saya menggesa agar Kerajaan Persekutuan meneruskan pembayaran royalti pada Februari dan Ogos setiap tahun supaya ia dapat memberikan manfaat kepada rakyat negeri-negeri berkenaan.

YB NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ahli Parlimen Bachok

3 Ogos 2018 | 21 Zulkaedah 1439H – HARAKAHDAILY 4/8/2018