Tahaluf Siyasi: Sejarah, limitasi dan kemungkinan

SEWAKTU Tahaluf Siyasi dengan Pakatan Rakyat (PR), ada ahli-ahli PAS yang terpaksa memilih mengundi selain PAS di kawasan-kawasan tertentu. Antaranya ialah mengundi DAP, yang ketika itu dalam pakatan Tahaluf. Walaupun ramai yang tak mampu buat kerana tajarrud, namun ada sahaja yang memangkah DAP bagi mengimbangi politik dan dirasakan ketika itu, memberi untuk kepada perjuangan Islam yang dibawa. Ketika itu, PAS dituduh pula sebagai “Kuda tunggangan DAP”.

Advertisement

Namun, isu yang boleh dilihat, ketika proses Tahaluf berlaku, ramai boleh menerima kerana antaranya adalah pengisytiharan umum dan juga gelombang yang menghalang boleh diatasi dengan media yang ada.

Dalam menyusun dan menjaga Islam dan kebajikan Islam mendatang, PAS perlu juga melakukan kerjasama politik dan termasuk dengan Umno-BN apabila matlamat menjaga Islam itu benar benar diperlukan. Namun, harus beringat, sebagaimana PAS bebas melakukan pendirian apa sahaja sewaktu Tahaluf dalam PR, PAS juga tidak boleh hilang jati diri menyebut amal maaruf nahi mungkar dalam kerjasama yang lain termasuk Umno-BN.

Antara dua dilema: Memangkah DAP sewaktu mahu mengembangkan dakwah Islam ketika suatu ketika dahulu, dan memangkah Umno-BN ketika DAP dan Pakatan Harapan (PH) tidak bertindak menjaga Islam dan umat Islam sebaiknya. Maka apakah adakah kepelikan? Tiada yang pelik jika difikirkan mengenai keutamaan menjaga kebaikan dan kebajikan untuk Islam dan dakwah Islam.

Halangan mental hari ini ialah menepis mengenai penyatuan yang kononnya satu keburukan oleh pihak lawan. Sedangkan apakah keburukan penyatuan umat Islam dan bangsa yang beragama Islam tanpa prejudis dan tanpa penindasan? Penyatuan mendukung Kleptokrasi adalah tuduhan lawan.

Maka, dalam halangan mental masyarakat hari ini yang berjaya diprogramkan melalui kempen media yang hebat sebelum ini perlu diatasi juga dengan pendekatan penerangan dan media hebat. Melaksanakan gerak kerja sekadar-sekadar sahaja akan menyebabkan langkah lambat bergerak kerana kurangnya persediaan dan perancangan rapi dan menyeluruh.

Jangan memandang rendah penerangan di peringkat bawah, dengan sekadar berharap disiplin jemaah diamalkan, sedangkan kalau kita jujur, betapa ramai yang faham mengenai dakwah Islam di jalur politik yang kita bawa hari ini? Kalau semudah dengan formula disiplin jemaah, pastinya kita sudah menang lama. Namun, muhasabahnya, ada bahagian politik dan dakwah tidak disempurnakan dengan sebaiknya.

Sekadar muhasabah.

AHMAD HAKIMI OTHMAN – HARAKAHDAILY 6/8/2018