Tragedi gempa bumi Lombok menginsafkan

SUHU dingin dengan angin semilir perlahan menampar kami di kaki Gunung Rinjani, ada pemandangan yang sangat pilu menjentik tangkai hati kami anggota misi bantuan kemanusiaan Muslim Care Malaysia. Ribuan rumah yang musnah, 18 nyawa yang terkorban dan ratusan yang cedera, manakala lebih 60 kali gegaran susulan berterusan berlaku selepas gegaran 6.4 skala richter yang menagih korban Lombok Timur, Lombok Utara dan sekitarnya.

Advertisement

Sebaik sahaja tragedi Lombok berlaku maka berbondong-bondong gerakan swadaya masyarakat bergegas ke Lombok untuk menyantuni mangsa-mangsa gempa bumi. Pulau Lombok juga dikenali sebagai pulau seribu masjid, terletak di Wilayah Nusa Tenggara Barat. Kami bergabung dengan dengan ACT dan juga MRI (Masyarakat Relawan Indonesia), NGO yang terkenal dengan kepiawaian dan keseriusan mereka membantu kawasan bencana di negara yang pernah dijajah Belanda selama 350 tahun.

Melihat wajah kumal dan pakaian yang kumuh mangsa-mangsa gempa bumi sangat meruntun hati. Lombok dengan majoriti masyarakat Muslim sebenarnya mengalami sedikit kejutan apabila dalam sedekad akhir ini mula dibanjiri oleh pelancong asing, sama ada dari Eropah, Timur Tengah, Asia Timur, bahkan juga daripada negara Malaysia. Ramai pelancong mula mengalih perhatian mereka daripada Pulau Bali yang eksotik kepada Pulau Lombok yang mempunyai sejarah lama Kerajaan Mataram.

Di jajaran pantai Lombok yang panjang mula dibangunkan Kompleks Parawisata, pelbagai kemudahan pelancong, rumah rehat, hotel, sukan aquaria untuk menggamit kedatangan pelancongan. Gunung Rinjani yang sombong menjulang awan juga antara tarikan kepada pelancong untuk datang ke Pulau seribu masjid ini. Pulau ini juga dimeriahkan dengan pesantren dengan kepulangan anak-anak tempatan daripada bermukim ilmu di Timur Tengah.

Misi bantuan kemanusiaan Muslim Care Malaysia yang diketuai oleh Haji Zulkifli Wahijan pada kali ini dengan kekuatan 18 orang relawan yang terdiri daripada doktor-doktor, paramedik, dengan pelbagai latar belakang relawan termasuk seorang doktor non-Muslim, Dr Chai. Rombongan telah mengadakan khidmat kesihatan percuma kepada mangsa-mangsa gempa bumi, mengagihkan makanan, pakaian solat, menyediakan tangki air bersih kepada mangsa-mangsa gempa bumi. Beberapa lokasi telah dikunjungi oleh anggota misi di Lombok Timur dan juga Lombok Utara.

Sebelum pulang, rombongan Muslim Care Malaysia telah sempat singgah di Pondok Pesantren Sohwatul Islamiah, Lombok Barat. Kami disambut dengan penuh kehangatan Ukhuwah Islamiah oleh pihak pentadbiran pondok dan para pelajar. Kami menyerahkan sejumlah wang derma untuk pembangunan pesantren yang dibangunkan oleh tiga beradik yang mendapat pendidikan di Mesir.

Gegaran saat ke dewan pelepasan

Satu pengalaman yang tak dapat kami lupakan ialah goncangan gempa bumi berskala 7.01 richter saat kaki kami melangkah ke dewan pelepasan. Bandara Antarabangsa Lombok bergegar kuat walaupun struktur bangunan kukuh menampung lapangan terbang yang mula menerima ramai kehadiran pelancong luar negara. Saya pada mulanya menyangka gegaran itu akibat daripada pesawat mendarat, namun apabila tiang-tiang bangunan bergegar kuat sehingga kerangka dinding kaca turut rentak. Dalam kekelamkabutan orang ramai ingin menyelamatkan diri, lampu telah terpadam dan ada yang berdesakan mencari pintu keluar utama.

Petugas-petugas lapangan terbang seupaya mungkin menenangkan penumpang-penumpang yang panik dengan suara pekikan dan jeritan menyelamatkan diri. Saya dan beberapa teman lain melaungkan azan semasa menyelamatkan diri dan kami berhimpun di luar pintu utama hadapan terminal, manakala sebahagian lain di kawasan berhampiran “runaway”. Pelbagai berita luar mula diterima melalui telefon pintar dan media sosial, dikhabarkan Lombok Utara paling terjejas teruk. Terbayang wajah-wajah penghuni Lombok Utara yang kami santuni pagi tadi dan juga santri pondok pesantren yang kami tinggalkan pada waktu petang sebelum kami berangkat ke lapangan terbang.

Ujian mendekatkan kita kepada Tuhan, semoga warga Lombok bangkit menjadikan komuniti mereka menyintai rumah Allah dan memeriahkan majlis-majlis ilmu. Tiada yang mustahil, lihatlah bagaimana Acheh pasca Tsunami menjadi lahan kebangkitan Islam di Indonesia, hidup bersyariat dan dipandang mulia oleh masyarakat antarabangsa Muslim. – HARAKAHDAILY 6/8/2018

IMG 20180806 WA0010

IMG 20180806 WA0011