Yakin dengan pendekatan politik matang menteri

ALHAMDULILLAH, hari ini saya menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan oleh YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Belia Dan Sukan bersama semua Exco Belia dan Sukan Negeri-negeri.

Advertisement

Saya sangat gembira dengan sikap matang yang ditunjukkan oleh YB Menteri apabila berulang kali beliau menyatakan akan memastikan pembangunan sukan dan projek-projek berkaitan tidak akan diabaikan serta tetap dilaksanakan di negeri-negeri pembangkang seperti Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Selain itu juga YB Menteri berjanji akan segera melakukan lawatan ke negeri Terengganu, Kelantan dan Pahang untuk menyelaraskan semua perkara berkaitan kementeriannya di antara kerajaan pusat dan negeri.

Saya telah membangkitkan lima perkara kepada YB Menteri dalam mesyuarat tersebut, antaranya ialah isu peruntukan khas kepada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Terengganu Cycling Team (TSG) seperti yang telah dijanjikan oleh menteri terdahulu.

Ia adalah berdasarkan kejayaan cemerlang atlet Terengganu dan juga kecemerlangan sukan berbasikal di mata dunia yang dicapai oleh TSG.

Selain itu, saya juga menyuarakan isu berkaitan pembinaan veledrom berbasikal di Dungun, pembinaan Kompleks Sukan Hulu Terengganu, Kompleks Sukan Mini di Jabi, Setiu dan Pusat Rekreasi Air di Pulau Duyong.

Semua projek ini telah pun sebahagiannya diletakkan batu asas pembinaan dan telah diumumkan sendiri oleh menteri terdahulu, juga oleh kementerian dan diluluskan dalam perancangan projek RMK10.

Insya Allah, dengan pendekatan politik yang matang yang ditunjukkan oleh YB Menteri, saya yakin ianya akan dapat dilaksanakan dan direalisasikan.

Wan Sukairi Wan Abdullah
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu
Selasa, 7 Ogos 2018 – HARAKAHDAILY 7/8/2018