RUU 355: Mujahid mengelirukan dewan

taki3

KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Dato’ Mujahid Yusof Rawa secara jelas mengelirukan Dewan Rakyat dengan kenyataan beliau berhubung Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU355).

Advertisement

Dato’ Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) dalam sidang Dewan Rakyat pagi ini bangkit mengusulkan perkara di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) iaitu kenyataan ahli yang mengelirukan dewan adalah disifatkan menghina majlis dan ahli berkenaan boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Menjelaskan kekeliruan tersebut, Takiyuddin merujuk jawapan Mujahid terhadap celahannya semasa sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja pada 6 Ogos lalu.

Beliau memetik Mujahid dalam sesi penggulungan menyatakan sewaktu menjadi pembangkang beliau sendiri telah mengemukakan rang undang-undang peribadi berkaitan isu memperkasakan Mahkamah Syariah secara holistik.

Tegas Takiyuddin, mengikut maklumat yang beliau perolehi dan melihat sendiri dokumen berkenaan, Mujahid sebenarnya telah mengemukakan Usul Persendirian pada Februari 2017 di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) dan ia sama sekali bukan Rang Undang-undang ahli persendirian. Kedua-dua perkara ini adalah amat berbeza sama sekali.

“Usul hanya dengan surat, manakala Rang Undang-undang melalui bill sebagaimana yang dikemukakan oleh Marang (Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang) pada tahun lepas. Itu dua perkara berbeza. Untuk tidak mengelirukan dewan ini, maka saya rasa terpaksa membangkitkan isu ini, pada mulanya saya bercadang nak berjumpa dengan beliau (Mujahid) tetapi beliau tidak ada di sini.

“Namun demikian, untuk berlaku adil kepada menteri (Mujahid), lagipun menteri dan timbalannya tak ada dalam Dewan masa ini, kalau menteri mendengar usul saya ini dan jika dia nak perbetulkan balik saya boleh terima, tetapi kalau beliau tidak mahu menarik balik dan perbetulkan perkara ini, saya ada bukti. Saya akan mengusulkan supaya beliau dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan,” tegas Takiyuddin.

Timbalan Speaker Dewan, Nga Kor Ming berkata bagi berlaku adil kepada Mujahid yang tidak ada dalam sidang Dewan Rakyat pagi ini, beliau meminta Takiyuddin memberi peluang kepada Mujahid untuk menjelaskan perkara tersebut.

“Saya beri peluang,” kata Takiyuddin. – HARAKAHDAILY 8/8/2018