Lombong: SAM terkilan maklum balas menteri

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) terkilan dengan kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, bahawa sianida (cyanide) yang digunakan oleh tiga syarikat perlombongan emas di Malaysia tidak akan mengakibatkan sebarang masalah kesihatan seperti kanser atau penyakit kulit dan bahawa sianida yang digunakan di kolam perlombongan tidak ada sebarang kesan kepada air atau persekitaran berhampiran.

Advertisement

Daripada petikan kenyataan beliau di media, Dr Xavier telah menyatakan bahawa “tidak kira di mana anda meletakkan sianida, ia akan menyejat dan menjadi karbon dioksida, ia tidak mempunyai bau.”  

Kami amat kesal bahawa kenyataan yang diberikan oleh Menteri dibuat tanpa memahami kesan-kesan penggunaan sianida dalam proses ‘carbon-in-leach’ di sebuah kilang yang terletak di kawasan perumahan atau sejarah aduan-aduan yang dibuat oleh komuniti Bukit Koman selama lapan tahun yang lalu atau semenjak Raub Australian Gold Mining Sdn Bhd (RAGM) memulakan operasi pada bulan Februari 2009. Operasi telahpun berhenti kerana syarikat tersebut telah digulung secara sukarela.  Kenyataan menteri itu hanya menunjukkan sikap tidak peka kerajaan dalam menyingkir aduan-aduan dan masalah kesihatan penduduk Bukit Koman.

Penduduk-penduduk Bukit Koman telah berkali-kali mengadu mengenai pendedahan mereka kepada bahan-bahan beracun. Mereka mengalami rasa loya, sakit kepala, kerengsaan mata, kegatalan dan ruam, dan secara umumnya perasaan tidak selesa dalam komuniti. Faktor yang menyebabkan masalah kesihatan ini tidak pernah diputuskan atau disiasat dengan teliti oleh kerajaan.  

Dari 15 hingga 17 Julai 2009, SAM telah menjalankan satu tinjauan kesihatan di sekitar Kampung Bukit Koman. Seramai 291 orang telah mengambil bahagian dalam tinjauan ini; 167 perempuan and 124 lelaki.

Keputusan tinjauan tersebut telah menunjukkan bahawa 206 orang mengadu kerengsaan kulit atau gatal-gatal, 190 mengalami kerengsaan mata atau mata berair, 169 mempunyai kesukaran bernafas, 137 mengadu kesulitan tidur setiap kali bahan berbahaya dikeluarkan, 136 mengadu pening dan 125 mengalami sakit kepala yang kerap.

Sesetengah daripada mereka juga mengalami kekeringan tekak dan batuk. Hanya 8 orang yang ditinjau tidak mengalami sebarang tanda-tanda penyakit dan antaranya adalah mereka yang tinggal jauh dari kilang tersebut dan juga mereka yang selalu menutup pintu dan tingkap rumah mereka setiap kali ada bau busuk berbahaya.

Jawatankuasa Bertindak Ban Cyanide (Ban Cyanide Action Committee) juga telah menjalankan tinjauan pada tahun 2012 dan mengeluarkan keputusan yang menunjukkan bahawa terdapat ramai yang mengadu tentang pelbagai masalah kesihatan selepas RAGM memulakan operasi.

Satu-satunya andaian yang boleh dibuat oleh penduduk adalah bahawa masalah kesihatan mereka adalah disebabkan oleh kilang emas tersebut kerana mereka tidak pernah mengalami masalah seperti itu sebelum RAGM memulakan operasi mereka.  

Sebagai sebuah kerajaan yang baru dipilih dan disokong oleh segolongan besar semasa pilihan raya yang lalu, kenyataan seperti ini tidak sepatutnya dibuat di Parlimen kerana ia hanya menunjukkan bahawa kerajaan telah terus menolak masalah-masalah yang dialami oleh mereka yang terjejas dan kesan-kesan yang mungkin telah diakibatkan oleh operasi kilang RAGM. Sebaliknya, menteri berkenaan seharusnya terlebih dahulu mengkaji dan memahami permasalahan yang berkaitan dalam penggunaan sianida dalam pemprosesan emas.  

Pada tahun 2008, SAM telah menyuarakan kebimbangan kami terhadap Penilaian Awal Kesan Alam Sekitar yang telah disediakan dan dikemukakan oleh RAGM kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS). Kami telah mengemukakan komen-komen kami kepada JAS berasaskan laporan pakar yang disediakan oleh dua saintis terkemuka  dari Amerika, Dr. Glenn C Miller[1] dan Dr. Mark Chernaik[2].

SAM dimaklumkan oleh Dr Miller bahawa sianida dalam bentuk sebatian yang kompleks tidak mudah degradasi dan akan kekal dalam air dan sisa lombong untuk jangka masa yang lama. Pada pH yang tinggi, arsenik dan antimoni boleh larut, dan nitrat, garam dan pelbagai bahan lain akan hadir dan ini akan memberi kesan jangka panjang kepada air di permukaan dan bawah tanah. Penggunaan sianida mungkin adalah kebimbangan yang paling besar kepada penduduk-penduduk.

Walau bagaimanapun perlindungan kesihatan dalam jangkamasa panjang perlu mempertimbangkan kesan daripada bahan-bahan cemar yang lain. Oleh itu, ia bukan hanya mengenai penggunaan sianida sahaja.  

SAM kecewa bahawa setakat ini, kerajaan telah terlepas pandang secara menyeluruh dan gagal menangani isu berkenaan kesan sebenar penggunaan sianida dalam proses melombong emas di sebuah kilang yang berdekatan dengan kawasan kediaman. Selanjutnya, salah satu syarat dalam pajakan melombong di bawah Enakmen Mineral Negeri Pahang menyatakan bahawa “penerima pajakan hendaklah menjalankan kerja pemulihan lombong mengikut syarat yang diluluskan oleh Jawatankuasa Sumber Mineral Negeri”.

Di samping itu, Prinsip 5 dalam International Cyanide Management Code (ICMC) menyatakan bahawa, “DECOMMISSIONING Protect communities and the environment from cyanide through development and implementation of decommissioning plans for cyanide facilities. Standards of Practice 5.1 Plan and implement procedures for effective decommissioning of cyanide facilities to protect human health, wildlife and livestock. 5.2 Establish an assurance mechanism capable of fully funding cyanide-related decommissioning activities.”  

Sehingga kini, SAM atau penduduk-penduduk Bukit Koman tidak tahu sama ada proses ini telah bermula dan siapa yang akan membayar proses ‘decommissioning’ dan pemulihan sekarang oleh kerana RAGM telahpun digulung secara sukarela oleh pemiutangnya. Kami tidak pernah mendapat sebarang jawapan mengenai perkara ini daripada kerajaan terdahulu.

SAM menggesa agar kerajaan:

i) menubuhkan satu pasukan petugas (taskforce) dengan penduduk-penduduk kampung dan pakar lain dalam isu toksikologi dan perlombongan untuk menyiasat punca masalah kesihatan penduduk Bukit Koman; dan

ii)  untuk memulakan proses ‘decommissioning’ dan pemulihan di tempat ini selaras dengan piawaian antarabangsa yang sudah wujud.  

[1] Seorang pakar yang telah bekerja dengan isu perlombongan selama lebih dari 30 tahun dan telah berkhidmat di jawatankuasa di United Nations Environmental Program (UNEP) untuk membangunkan kod untuk penggunaan sianida secara selamat di lombong emas, International Cyanide Management Code.  

[2] Saintis dengan Environmental Law Alliance Worldwide (ELAW) yang antara lain telah menubuhkan Program Pengujian Kualiti Air untuk memberi NGO di negara-negara membangun peralatan asas untuk memantau pencemaran air.

Penulis ialah Presiden Sahabat Alam Malaysia.