Quran dan Hadis garis ciri Jamaah Islam

GOMBAK: Perakuan terhadap sebuah Jamaah Islam yang sebenar mestilah dilihat dengan kumpulan tersebut memenuhi ciri-cirinya, demikian terang Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Advertisement

Memulakan penjelasan dengan menghurai hadis mengenai ‘Jamaatul Muslimin‘, ujarnya terdapat beberapa kalimah antaranya Jamaah, Thaifah, Ummah dan Hizb sebagai perkataan sama erti dalam Bahasa Arab.

“Semuanya dengan makna kumpulan. Hizb dengan makna kumpulan. Jamaah makna kumpulan. Ummatun minkum, satu kumpulan daripada kamu, ini ialah kumpulan juga. Bukan semua umat, tapi kumpulan dalam umat. Mempunyai makna yang sama.

“Apa yang penting kita kena sedar bahawa Jamaah Islam sebenar ada ciri-ciri yang disebut dalam ayat-ayat (Quran dan Hadis). Adakah jamaah ini memenuhi ciri-ciri ini?” terangnya pada Liqa’ Fikri PAS Pusat di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, di sini hari ini.

Antara ciri tersebut menurutnya, adalah ad-Da’watu ilal khair yakni berdakwah kepada kebajikan yang ditafsirkan ulamak dengan makna Islam yang menyeluruh.

Kerana ujarnya, jika sekadar mengajak orang masuk Islam tanpa ada perjuangan untuk melaksanakan syariat dan tuntutan Islam lainnya, maka tidak memenuhi ciri Jamaah Islam dimaksudkan.

Begitu juga ciri amar makruf nahi munkar sama ada sebagai kerajaan mahupun pembangkang, tetapi mesti berusaha menjadi kerajaan sebagaimana Nabi S.A.W hijrah ke Madinah mendirikan kerajaan.

“Kalau dakwah sahaja, tak ada cita-cita nak mendirikan kerajaan, dia tak ikut Nabi. Nabi yang paling layak menafsir al-Quranul Karim.

“Jadi ulamak-ulamak kita menubuhkan PAS tahun 1951 dulu, kesinambungan kumpulan Islam sebelum darinya setelah hilangnya Kerajaan Islam,” jelas Tuan Guru.

Terang beliau, walaupun diharamkan penjajah sebelum ditubuhkan PAS, tetapi agenda PAS memenuhi ciri-ciri tersebut, sedang terdapat kumpulan yang hanya ada amar makruf, tetapi tiada nahi munkar.

Malah, terdapat kumpulan katanya, yang enggan menghadapi kemungkaran kerajaan kerana bimbang tidak dapat projek, selain tiada cita-cita menegakkan negara, termasuk membiarkan sesiapa sahaja memerintah.

“Masalah (Jamaah Islam) tak menang, tidak punya ahli yang cukup, itu cerita lain. Tetapi ciri-ciri dasar mesti ada. Dalam undang-undang tubuh nyata perkara ini,” ujarnya.

Menurut Tuan Guru, tanpa ciri-ciri tersebut, ianya bercanggah dengan mesej para Nabi dan Rasul yang bukan sahaja mendakwahi rakyat, tetapi juga pemerintah sebagaimana Nabi Ibrahim dengan Namrud dan Nabi Musa dengan Firaun.

Bahkan Nabi Muhammad tambahnya, menghadapi Rom dan Parsi, selain menjadikan dakwah sebagai jihad yakni kesanggupan berhadapan segalanya dengan harta dan jiwa raga. – HARAKAHDAILY 11/8/2018