Seri Setia, Balakong tunggu laporan PAS S’gor

MARANG: PAS Pusat akan menentukan penyertaannya pada dua Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Seri Setia dan Balakong, dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada hari ini.
 
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS Pusat akan meneliti laporan PAS Selangor mengenai Dun Seri Setia.
 
“Adapun kawasan (Dun Seri Setia) baharu ini kita (PAS) akan mesyuarat petang esok (Sabtu) dan akan dengar laporan daripada PAS negeri Selangor. Dua-dua (Seri Setia dan Balakong) kita akan lihat dan tinjau,” ujarnya ketika menjawab pertanyaan wakil media mengenai dua PRK itu.
 
Sebelum itu, beliau merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) Kali Ke-49, di Dewan Majlis Daerah Marang, di sini semalam.
 
Menjawab pertanyaan media kononnya ahli PAS tidak keluar mengundi pada PRK Sungai Kandis baru-baru ini, Dato’ Seri Abdul Hadi menyifatkan, tuduhan itu satu andaian.
 
“Yang Sungai Kandis itu masih andaian, masih satu ramalan. Kita (PAS) ada ‘postmortem’ kita sendiri dan kita menggalakkan ahli-ahli PAS ini mengundi, walaupun kita tak bertanding. Kita mengundilah mana yang lebih baik kepada umat Islam. Itu arahan kita (PAS). 
 
“Kita kena sedar peratus (keluar) mengundi pun kurang sangat dan tak boleh kata ahli PAS sahaja (tak keluar mengundi). Mungkin ahli PAS ramai keluaryang lain tak keluar mengundi. Itu masih dalam satu andaian,” jelasnya.
 
Sehubungan itu, kata beliau belum lagi melihat senarai calon jika parti itu bertanding di PRK Seri Setia sehingga menunggu laporan daripada PAS Selangor.
 
Beliau juga mengulas cadangan daripada parti Barisan Nasional (BN) agar PAS meletakkan calon mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bertanding PRK Dun Seri Setia.
 
Presiden PAS mengalu-alukan, peluang yang diberikan kepada parti itu bertanding tetapi menentukan calonnya adalah hak PAS Selangor.
 
“Kita (PAS) mengalu-alukan peluang diberi, adapun menentukan siapa jadi calon (Seri Setia) itu bergantung kepada laporan yang diberi oleh PAS Selangor. 
 
“Saya belum melihat (senarai calon) lagi, terlalu awal. Petang esok (Sabtu) kita mesyuarat,” ujarnya kepada pihak media.
 
Menyentuh hubungan kerjasama antara PAS, BN dan DAP pula, Dato Seri Abdul Hadi menegaskan, kerjasama itu berasaskan konsep taawun.
 
“PAS mengambil pendekatan konsep taawun, bekerjasama dalam perkara yang baik dan tak kerjasama dalam perkara yang tidak baik. Itu dilihat pendekatan daripada semua pihak akan dilihat. 
 
“Sehingga ini memanglah DAP membuat penegasan putus dengan PAS. Bukan kita, mereka yang buat begitu. Dengan sebab itu kita tak mahulah hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. 
 
“Kita (PAS) ada sikap kita sendiri dan kita ada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) masih ada, tak perlu kepada DAP,” tegasnya.
 
Hadir sama pada sidang media itu, Bendahari PAS Terengganu, Cikgu M.Syukrimun Shamsuddin dan Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim. -HARAKAHDAILY 11/8/2018
Advertisement