Strategi Panglima Qutuz yang memenangkan Islam

MENYATUKAN semua komponen Islam

Advertisement

●     Dihimpunkan semua pemimpin dari segenap lapisan masyarakat. Bermula dengan para pembesar, Panglima-panglima utama, para ulamak, golongan veteren juga ketua masyarakat untuk berbincang dan menentukan siapakah yang layak menerajui kepimpinan sekarang untuk menghadapi Tatar.

●     Raja Mansur Ali anak kepada Muizzuddin Aibak yang sedang menggantikan ayahnya kini terlalu muda usianya dan tiada ketokohan lagi untuk memimpin bala tentera berhadapan Monggol. Lantas Qutuz berucap:

“Bukanlah niat daku mengumpulkan kalian di atas tujuan menginginkan jawatan ketua, akan tetapi bagi melawan Tatar adalah amat mustahil tanpa seorang Panglima. Maka aku sendiri yang akan memimpin melawan Tatar. Selepas musuh kita berjaya dikalahkan, daku serahkan kembali kepada kalian untuk memilih sesiapa sahaja yang ingin diangkat sebagai ketua.”

(Ucapan ini diolah dengan gaya bahasa yang mudah tanpa lari dari maksud sebenar)

     Kejujuran Qutuz untuk melawan Tatar bukan merebut jawatan diperlihatkan dalam setiap tindakannya. Begitulah janji Allah bahawa kemenangan Islam adalah di tangan orang beriman, bukan Munafiq mahupun orang yang Fasiq:

“Sesungguhnya Allah tidak akan menjayakan perbuatan orang-orang yang melakukan kerosakan.”

(Yunus: 81)

     Jawatan Ibnu binti al-‘Aaz ditukarkan kepada Zainuddin Yaaqub Abdul Rafi di atas potensinya yang tinggi, walaupun Ibnu binti al-‘izz adalah daripada kroninya yang kuat.

     Bagi jawatan komandan pasukan, dikekalkan Farisudin Aqtai memimpin walhal Farisudin berasal daripada kelompok Mamalik Bahriah yang banyak menentang Qutuz. Tetapi potensi dan kelebihan Farisuddin tidak boleh dikesampingkan untuk melawan Tatar. Seterusnya Qutuz menangkap pemimpin yang cuba memberontak dan menyebarkan fitnah yang akan melemahkan barisan tentera.

     Dalam masa yang sama, gelombang jihad masih belum sampai kepada seluruh masyarakat. Rakyat masih lagi sibuk dengan urusan peribadi masing-masing seakan-akan tidak tahu apa yang sedang berlaku. Dipertanggungjawabkan kepada Zainuddin dan Farisuddin Aqtay untuk mempersiapkan pasukan, memupuk semangat jihad dan mengatur barisan supaya rakyat mulai sibuk dengan urusan jihad dan meninggalkan urusan peribadi mereka. Dalam pada itu, keperluan rakyat tetap dijalankan.

Bersikap Ruhamak terhadap Mamalik Bahriah

     Barangkali kita sedia maklum bahawa berlaku perpecahan yang besar dalam kalangan Mamalik selepas kematian Sultan Soleh. Mamalik terpecah kepada dua, Mamalik Muizziyah dan Mamalik Bahriah. Mamalik Bahriah adalah kumpulan yang asal di bawah Sultan Soleh. Kemelut Istana yang berlaku menyebabkan pengikut Mamalik Bahriah ada yang melarikan diri ke Syam di bawah pimpinan Ruknudin Baybrus. Sejak dari itu konflik semakin parah diantara dua kumpulan Mamalik yang sentiasa berperang ditambah pula dengan kedegilan kaum Ayyubiah.

●     Untuk kesatuan bersama, Qutuz mengisytiharkan pengampunan buat semua Mamalik Bahriah dan menjemput mereka pulang kembali ke Mesir dan bergabung tenaga. Ruknuddin Baybrus amat diperlukan bagi menghadapi Tatar kerana:

i.     Kemampuan tempur yang sangat tinggi, jiwa Panglima dan wibawa ketinggian peibadi Muslim.

ii.     Ketajaman pemikiran Baybrus dimanfaatkan untuk menentang musuh sebenar iaitu Monggol, bukan berperang sesama sendiri.

Iii.     Sekiranya Baybrus tidak dilibatkan dalam perang melawan Tatar, dikhuatiri beliau akan menggulingkan Qutuz.

Mencairkan hubungan dengan Bani Ayyub

Rekod hubungan Mamalik dan Ayyubiah sering tegang. Dalam keadaan begini, adalah penting untuk Mesir dan Syam kembali bersatu. Kekuatan Monggol yang terlalu kuat mestilah tidak boleh diganggu dengan permusuhan dalaman. Qutuz bertemu Raja Nasir Yusuf (Damsyiq dan Aleppo), Amir al-Mansur (Hama), Mughits Umar (Kark) , Asyraf al-Ayyubi (Homs), dan Malik Said Hasan (Banias). Hanya pemimpin Hama sahaja yang sedia bergabung tenaga bersama Qutuz.

Nyata teramatlah malang kerana semua yang enggan bergabung dimusnahkan oleh Tatar.

Mencengkam awal pasukan Salib

Seteru yang tidak pernah berhenti daripada berlawan dengan umat Islam adalah tentera Salib sejak zaman Salahuddin al-Ayyubi lagi. Dalam situasi getir, adalah tidak cerdik untuk Islam bertembung dua musuh sekali gus, apatah lagi menjadi kekhuatiran andainya Salib pula bergabung tenaga dengan Tatar. Lalu dihantar wakil ke Akka untuk membuat negosiasi.

Nyata nego berhasil kerana Salib juga amat membenci Monggol yang tidak boleh dipercayai janji-janjinya. Qutuz hanya meminta mereka membenarkan tentera Islam melintasi wilayah mereka dan mendapatkan keperluan logistiknya sahaja. Walaupun Salib sedia menawarkan bantuan tentera, Qutuz menolak dengan baik.

Kewajipan sosial dan amanah pemimpin

Persiapan peperangan memerlukan belanja yang amat besar dan waktu yang terlalu singkat. Satu fatwa diperlukan segera untuk menyelesaikan isu ini dengan tangkas. Lalu dipanggil bersidang seluruh ulamak dan pemimpin utama ke Istana termasuklah Syeikh Izzuddin bin Abd Salam. Ketegasan Syeikh Izzuddin, membenarkan harta rakyat dikutip untuk menampung keperluan peperangan, dengan syarat seluruh kekayaan pihak atasan dan Baitul Mal dikosongkan terlebih dahulu. Fatwa ini disambut oleh Qutuz dengan lapang dan dilaksanakan serta merta. Para ulamak juga turun ke medan menganjurkan rakyat menginfaqkan harta untuk jihad melawan Tatar.

Keunikan inilah yang menjadi salah satu faktor kemenangan umat Islam. Kejujuran pemimpin, diganding pula bersama Alim Rabbani dan pengorbanan rakyat yang memahami.

Rujukan

Kisah Tatar Dr Raghib As Sarjani 

Sultan Saifuddin Qutuz Dr Ali As Salabi

Bangsa Monggol Dr Ali As Salabi

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
11 Ogos 2018 – HARAKAHDAILY 11/8/2018