‘Tamkin’ untuk Islam syarat terima jawatan

GOMBAK: Pemberian jawatan di dalam kerajaan secara dasarnya terdapat nas untuk menerima atau menolak berdasarkan keadaan yang perlu difahami bersama dengan perimbangan-perimbangan maslahahnya.

Advertisement

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengemukakan perkara itu sebagaimana penerimaan jawatan Bendahara Kerajaan Mesir oleh Nabi Yusuf A.S, sedang Nabi Muhammad S.A.W pula menolak dijadikan Raja Makkah.

Jelas beliau, penerimaan oleh Nabi Yusuf itu kerana diberikan ‘tamkin’ yakni kekuasaan untuk melaksanakan dasar, namun tidak kepada Nabi Muhammad walaupun berjawatan ketua paling besar ketika itu.

“Kerana jawatan (raja) itu tidak ada ‘tamkin’, kuasa. (Hanya) meneruskan konsep jahiliyah, tanpa diizinkan untuk melaksanakan Islam. Maka Nabi tolak,” ujarnya pada Liqa’ Fikri PAS Pusat di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Taman Melewar, di sini hari ini.

Menurut beliau, PAS pernah melalui pelbagai pengalaman seumpama, namun terdapat juga keadaan di mana pemegang jawatan daripada PAS berada di kedudukan yang ada ‘tamkin’ tetapi tidak pandai menggunakan kuasa dan kedudukannya.

Terang Tuan Guru, dengan jawatan itu menjadikannya tunduk kepada kerajaan melebihi patuh kepada parti, sedangkan sepatutnya membawa mesej parti di dalam kerajaan, lalu larut tenggelam di dalam jawatan itu.

Apatah lagi katanya, jawatan yang tidak ada kuasa di mana dengan kedudukan itu sahaja boleh merosakkan diri seseorang dan jamaah, kecuali diambil atas perimbangan maslahah antaranya diukur dengan Fekah Muwazanah.

Antara contoh diberikan Tuan Guru adalah jawatan di masjid bagi tujuan memakmurkannya dan mendekatkan masyarakat, lebih-lebih lagi bagi membela Islam dan bukannya sebagai peluang atau mencari makan disebalik jawatan.

Beliau menukilkan kisah Syeikh Muhammad Abduh R.H sebagaimana dalam Tafsir Al-Manar yang membenarkan orang Islam di India ketika itu menerima jawatan Hakim oleh penjajah British, tetapi mestilah dengan tujuan membela Islam.

Begitu juga terangnya, pendirian membenarkan orang Islam bekerja di Jabatan Agama di masa penjajah dahulu supaya boleh menolong orang Islam mengendalikan urusan keluarga dan pusaka walaupun Hudud dan Qisas tidak dapat dilaksanakan. – HARAKAHDAILY 11/8/2018