Berikan kepercayaan sepenuhnya kepada Presiden

TAMAN Melewar 11 Ogos 2018 – “Kasihan Presiden. Kalau saya memang tak tahan dah,” ucap Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin, Mursyidul Am PAS dalam program Liqa Fikri PAS Pusat di Taman  Melewar pagi ini merujuk pelbagai fitnah dan tohmahan yang ditujukan kepada Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS terutama melalui media sosial.

Advertisement

“Suasana politik hari ini saling tak tumpah seperti yang berlaku dalam cerita Abu Nawas, iaitu serba tak kena. Abu Nawas bersama anak dan seekor keldai. Berjalan kaki, ditanya kenapa tak tunggang keldai. Bila ditunggang seorang, dikritik kerana tinggalkan seorang lagi. Akhir sekali, Abu Nawas dan anaknya pula yang tanggung keldai,” ujar beliau membuat perumpamaan.

Beliau menambah: “Ahli Parlimen PAS bercakap pelbagai perkara, antaranya tentang aurat dan judi, seolah-olah tak kena. Dikritik kerana dilihat kononnya ia isu kecil”.

Beliau mengingatkan supaya tidak pedulikan apa orang cakap. Ahli Parlimen PAS dan ahli ada asas untuk bertindak dan berucap berdasarkan petunjuk agama. Kalau mahu dipedulikan kritikan semua pihak, tentu kita tidak akan dapat buat sebagaimana perintah agama.

Beliau juga memuji  program Liqa Fikri pada hari ini yang memfokuskan tentang topik istiqamah dan wala’ yang mesti disuburkan di kalangan ahli PAS.

Beliau mengingatkan peserta Liqa Fikri tentang kepelbagaian cara dan sifat kepimpinan di zaman Nabi seperti yang ada pada Abu Bakar dengan kelembutan dan kesetiaannya, Umar dengan ketegasannya, juga seperti Abu Zar, sahabat yang tiada jawatan penting, hidup seorang dan mati sendirian.

Demikian juga kepelbagaian sifat ini wujud di dalam PAS. Yang penting ialah tiada bentuk pengkhianatan seperti kumpulan yang pernah wujud sebelum ini, dan ahli mesti memberi sepenuh kepercayaan kepada Presiden PAS menerajui parti, terutama dalam situasi politik tanah air mutakhir ini. – HARAKAHDAILY 12/8/2018